POLIS baru tiba di kediaman peribadi Najib Razak di Jalan Langgak Duta untuk meneruskan penggeledahan mereka di premis berkenaan yang sudah masuk hari keempat.
Bagaimanapun, jumlah kenderaan polis memasuki kawasan itu berkurangan pagi ini berbanding semalam, dan tiada peronda dikesan berada di kawasan itu sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Pada 10.50 pagi, peguam Najib, Harpal Singh Grewal tiba bersama seorang individu yang tidak dikenali.
Dua buah kenderaan juga dikesan memasuki kediaman itu, bagaimanapun penumpangnya tidak dapat dikenal pasti.
Polis sudah menyerbu beberapa premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu termasuk kondominium di Pavilion Residences sejak dua hari lepas.
284 beg tangan berjenama termasuk Hermes Birkin dan Louis Vuitton, 72 beg berisi barang kemas, wang tunai dan emas juga dirampas.
Serbuan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang berjalan.
Semalam, polis berjaya membuka sebuah peti besi lama di kediaman itu, mengandungi mata wang asing dan dokumen lama selepas berusaha lebih 24 jam.
Mereka kini dalam usaha membuka lima lagi peti besi di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri.
Peguam Najib, Harpal Singh Grewal mengatakan Najib sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasildaripada Aktiviti Haram 2001. – 19 Mei, 2018.
Komen