Teka-teki kontroversi cukai pelancongan Malaysia


The Malaysian Insight

Industri pelancongan adalah salah satu industri utama negara kini terjebak dalam kontroversi cukai pelancongan. – Gambar AFP, 13 Jun, 2017.

CUKAI atau ses bukanlah perkara luar biasa dalam industri pelancongan. Pulau Pinang dan Melaka kedua-duanya mempunyai cukai warisan yang dikenakan kepada mereka yang menginap di hotel.

Tetapi cukai pelancongan Malaysia yang baru mengenakan caj antara RM2.50 sehingga RM20 bergantung kepada kelas bilik hotel telah mengubah perkara yang asalnya bersifat industri kepada perkara yang membuka kembali luka antara Putrajaya dan negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Ia juga menunjukkan yang proses perundangan di Malaysia yang membenarkan cukai sebegitu untuk diaktakan, diperdebatkan dan diluluskan tanpa banyak soal daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tetapi menjadi isu pertikaian selepas semuanya peringkat perundangan selesai dilalui.

Yang diperjudikan ialah salah satu industri peneraju dalam ekonomi Malaysia yang menyumbang RM82.1 bilion kepada pendapatan negara pada 2016 berbanding RM69.1 bilion pada 2015, dan jumlah ketibaan 26.8 juta pelancong tahun lepas dibandingkan dengan 25.5 juta pelancong pada 2015.

Jumlah perbelanjaan membeli belah pula pada 2016 ialah RM26 bilion berbanding dengan RM21.6 bilion pada 2015, peningkatan 20.3%. Purata pelancong tinggal di negara juga meningkat 0.4% pada 2016 kepada 5.9 malam.

Putrajaya menjangkakan memperolehi RM114 bilion daripada 31 juta pelancong pada 2017, mengatakan yang perolehan cukai itu akan diagihkan kepada industri pelancongan.

Tetapi ada beberapa persoalan yang masih memerlukan jawapan susulan perbezaan dan pertikaian pendapat tentang cukai itu yang berlaku secara terbuka antara pemain industri dan juga menteri kabinet.

1.Rang undang-undang untuk mewujudkan cukai itu diluluskan kabinet tahun ini. Tidak adakah menteri kabinet dari Sabah dan Sarawak yang membangkitkan bantahan semasa mesyuarat atau adakah mereka terlepas pandang? Adakah ia dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat kabinet? Bolehkah kementerian berkaitan memberikan penjelasan?

2.Kertas Perintah Rang Undang-undang itu dihantar kepada semua ahli parlimen termasuklah ahli parlimen BN, majoriti dalam Dewan Rakyat. Tidak adakah ahli parlimen BN Sabah dan Sarawak yang merupakan majoriti memeriksa atau membaca cadangan cukai itu? Adakah mereka melakukan bantahan kepada rakan sejawat atau senegeri mereka yang berada dalam kabinet atau kerajaan negeri mereka?

3.Rang undang-undang itu melalui persidangan parlimen awal tahun ini sebelum diluluskan pada 5 April ketika Dewan Rakyat habis bersidang pada jam 5 pagi. Tidak adakah ahli parlimen BN yang memperdebatkan rang undang-undang tersebut atau kandungannya yang berkaitan dengan cukai pelancongan. Apa yang sebenarnya berlaku? Bagaimana mereka boleh meluluskan rang undang-undang walaupun menerima bantahan daripada pembangkang dan hanya sekarang buat kecoh?

4.Menteri Pelancongan Nazri Aziz mengatakan yang 75% daripada hasil cukai dijangka diperolehi daripada Semenanjung Malaysia kerana tidak banyak hotel kelas tinggi di Sabah dan Sarawak. Tetapi adakah perolehan itu akan dibahagikan secara saksama. Bagaimana? Adakah perolehan itu akan diasingkan daripada Dana Disatukan? Siapakah yang akan menguruskan perolehan itu?

5.Dijangka RM114 bilion hasil perolehan diperolehi daripada industri pelancongan pada 2017, adakah ia termasuk hasil daripada cukai atau berasingan? Apakah bajet pelancongan untuk Malaysia dan adakah pemain indusri, kerajaan negeri berhak menyuarakan pandangan bagaimana wang itu akan dibelanjakan?

6.Bajet promosi pelancongan Malaysia dipotong dalam Bajet 2017. Adakah cukai ini akan menampung kekurangan itu? Adakah ada cadangan cukai lain selain yang akan dikenakan ke atas hotel melalui cukai pelancongan ini?

7.Mengapa perkenalkan cukai pelancongan sedangkan sudah ada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)? Adakah perolehan cukai pelancongan ini perlu juga dibayar setiap suku tahun? Siapa yang mengutip cukai pelancongan? – 13 Jun, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen