KR1M 2.0 dihentikan


The Malaysian Insight

PUTRAJAYA akan menghentikan satu lagi inisiatif diperkenalkan pentadbiran Najib Razak, Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM) 2.0 yang menyasarkan kelompok berpendapatan rendah yang berdepan cabaran besar peningkatan harga barang, lapor The Malaysian Reserve.

Kerajaan baru dilantik yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menghentikan program kontroversi, Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR), yang menjual barangan kegunaan harian dengan harga diskaun.

Berdasarkan memo dalaman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dilihat akhbar itu, rancangan untuk memperkenalkan subsidi bersasar sedang dirangka.

“Semua program dan cadangan oleh kepimpinan terdahulu yang belum dilaksanakan akan digantung,” kata memo itu selepas pertemuan dengan Dr Mahathir pada 14 Mei lalu.

Pentadbiran lama menyasarkan pembukaan 3,000 buah KR1M 2.0 menjelang 2020. Ia dilancarkan Februari lalu yang merupakan penjenamaan semula KR1M yang diperkenalkan sejak 2011.

Kontrak skim itu pada 2011 diberikan kepada Mydin tetapi tamat pada September tahun lepas selepas rangkaian pasaraya itu kerugian lebih RM100 juta.

Terdapat hampir 50 KR1M 2.0 yang sudah dibuka di beberapa negeri termasuklah di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

PJSR pula adalah program diadakan dua kali sebulan, menawarkan pelbagai barangan harian dengan harga 20% lebih rendah berbanding harga pasaran.

Laporan juga menyatakan yang kontrak dibuat menerusi rundingan terus akan terbatal.

“Tiada pengambilan baru penjawat awam,” katanya menambah yang dasar termasuk Akta Koperasi 1993 akan disemak semula dan semua agensi perlu melakukan pembentangan ringkas mengenai hala tujunya kepada perdana menteri.

Memo turut menyebut yang sambutan Hari Koperasi Negara tidak akan lagi diadakan. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen