Terkejut jadi menteri, Rina sahut cabaran


The Malaysian Insight

BAGI seorang ahli politik yang masih “hijau”, rezeki Rina Harun boleh dianggap sangat baik.

Setelah menang di Titiwangsa menewaskan pesaing yang merupakan orang lama politik, beliau diangkat pula menjadi menteri luar bandar yang baru diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun namanya tidak begitu dikenali di luar lingkungan Pakatan Harapan, ketua Srikandi Bersatu itu sebenarnya sudah aktif menceburi politik sejak 2012, pernah memegang jawatan ketua Puteri Umno Sepang, naib ketua Puteri Umno Selangor, exco Puteri Umno sebelum keluar dan menyertai Bersatu.

“Saya menyertai Bersatu kerana saya percaya kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin Yasin (yang) perjuangan mereka untuk rakyat.”

Walaupun terkejut diumumkan sebagai salah seorang menteri kabinet, beliau tidak memandang enteng tugas menerajui  kementerian yang sejak sekian lama sangat dekat dengan pembangunan ekonomi dan sosial orang Melayu itu.

“Saya rasa amat terkejut dengan kepercayaan yang diberi perdana menteri dan saya amat bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya yg berganda.

“InsyaAllah saya akan pastikan ‘masterplan’ yang terbaik untuk kementerian ini mencapai matlamat ia diwujudkan,” katanya kepada Malaysia Decides.

Rina, 44 merupakan antara 13 menteri kerajaan PH dinamakan Dr Mahathir Mohamad.

Pada PRU14 lalu, beliau mengejutkan banyak pihak apabila menewaskan “gergasi Barisan Nasional” yang juga penyandang kerusi Titiwangsa, bekas Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani.

Bukan saja terpaksa berlawan dengan bekas menteri, seorang lagi pencabarnya dari PAS juga merupakan calon yang tidak kurang hebat kerana telah bertanding sebanyak tiga kali pilihan raya.

“Saya bukan calon yang sangat dikenali di Titiwangsa jika dibandingkan dengan calon BN dan PAS. Dua orang ini bukan calang - calang.”

Namun ia tidak melemahkan semangatnya sebaliknya beliau giat berkempen di kawasan kubu kuat BN itu.

“Saya yakin yang saya boleh menang tapi kena berusaha, sebab itu saya banyak lakukan program.

“Selain ceramah saya juga buat secara ‘face to face’ (bertemu pengundi). Saya ketuk pintu rumah ke rumah. Kalau rumah flat itu 16 tingkat daripada bawah sampai atas saya ketuk.”

Rina memperolehi 20,721 undi berbanding Johari 16,701 dan Mohamad Noor Mohamad, PAS 5,578.

Selepas kemenangannya, beliau telah mengadakan 15 program termasuk mengadakan “sesi townhall” bersama penduduk di tiga zon iaitu Keramat, Pandan dan Kampung Baru.

Pada masa sama beliau menyeru sokongan semua rakyat Malaysia termasuk penyokong BN memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan baru ditadbir PH.

Beliau berkata ketika ini masih ada penyokong BN yang ragu - ragu dan takut terhadap PH, namun tidak salah jika mereka memberi peluang kepada kerajaan baru.

“Kalau kita sayangkan negara kita, kita sayangkan rakyat Malaysia dan kita rakyat Malaysia mahu negara jadi lebih baik 

“Maka kali ini saya memerlukan sokongan ideologi semua pihak tanpa mengira perbezaan politik sebab kita punyai tugas yang lagi penting.” – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen