Dilantik jadi menteri, Azmin makin hampir jadi PM


The Malaysian Insight

TERKEJUT dengan pemilihan Azmin Ali sebagai menteri ekonomi?

Tak perlu. Beliau dipilih sebagai pelapis masa depan negara oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1980-an ketika masih belajar ekonomi dan matematik di Universiti of Minnesota, Amerika Syarikat.

Malah, jangan terkejut jika dalam tempoh beberapa tahun lagi, Azmin menjadi timbalan perdana menteri seterusnya menjadi perdana menteri setelah Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim bersara daripada arena politik negara.

Begitulah tingginya Azmin dipandang oleh perdana menteri dan Daim Zainuddin- dua penggerak utama di sebalik pelan agung mengubah Malaysia bagi memastikan hak individu diletakkan pada tempatnya supaya peluang membetulkan landasan negara pasca PRU14 tidak tertutup dalam masa enam hingga lapan tahun lagi.

Kedua-dua tokoh utama negara itu melihat diri mereka dalam Azmin, terutama sekali berkaitan etika kerja, kemampuan menyudahkan tugas dan sifat tiada belas kasihan untuk mendapatkan sesuatu.

Mereka percaya Azmin boleh menerajui Malaysia satu hari nanti, mungkin mengambil alih kepimpinan daripada Anwar yang sudah diangkat menjadi perdana menteri seterusnya selepas Dr Mahathir.

Satu hal yang pasti, pelantikan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi tidak diterima sepenuhnya dalam PKR, parti yang diasaskan Anwar setelah dipecat daripada kerajaan dan dipenjara pada 1998.

Semua orang tahu ada perpecahan dalam parti itu- satu kelompok yang setia kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail dan satu lagi kumpulan yang dianggap orang Azmin.

Sekian lama, cita-cita Azmin terhalang oleh pergolakan dalaman PKR, malah ada yang menganggap pergolakan itu sebagai bukti kegagalan PKR berfungsi dengan baik.

Tetapi apabila kuasa penentu pelantikan kabinet dipegang Dr Mahathir dan Daim yang dianggap penggerak belakang tabir, ini kalilah peluang Azmin untuk menyinar di pentas kepimpinan nasional.

Anwar akan menyokong kebangkitan Azmin selagi mana pelan perpindahan kuasa yang dirancang Dr Mahathir dan Pakatan Harapan sebelum PRU14 dipatuhi. Rancangan itu diketahui umum, Anwar akan menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir selepas dua atau tiga tahun lagi.

Duduknya Anwar di kedudukan tertinggi kepimpinan negara menutup langsung peluang ahli keluarganya yang lain untuk menjadi timbalan perdana menteri, seterusnya membuka ruang kepada Azmin untuk menjadi orang kanan paling dipercayai Anwar sekali lagi.

Selepas menyempurnakan pengajian di Amerika Syarikat, Azmin pulang ke tanah air.

Kerja pertamanya pada usia 23 tahun adalah pegawai khas Anwar di Kementerian Pendidikan. Dr Mahathir sendiri yang mencadangkan beliau menjawat jawatan itu kepada Anwar.

Dr Mahathir mula mengenali Azmin ketika beliau menjadi pemimpin pelajar Malaysia di AS. Azmin menganjurkan persidangan dan forum untuk Dr Mahathir ketika lawatan rasminya ke sana.

‎Dalam satu majlis, Azmin menghimpunkan hampir 2,000 orang pelajar Malaysia yang pulang bercuti musim panas di tanah air. Ketika itu, pelajar luar negara adalah kelompok kuat menentang kerajaan.

Bertahun selepas itu, Azmin menjadi rapat dengan Dr Mahathir. Sangat rapat sehingga Dr Mahathir adalah tetamu kehormat pada majlis perkahwinan Azmin.

Hubungan erat bak ayah dan anak itu terlerai pada 1998 selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan dipenjarakan atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa.

Ketika itu, Azmin sudah menjadi orang paling kanan Anwar.

Azmin memilih Anwar dan bukannya Dr Mahathir, kemudian menjadi salah seorang pengasas PKR.

Azmin dan keluarga menanggung hukuman berat kerana memilih untuk setia kepada Anwar.

Pentadbiran Dr Mahathir menuduh isteri Azmin mempunyai hubungan sulit dengan Anwar, malah menghasut adik beradik Azmin sendiri menentangnya.

Azmin menjauhkan diri daripada Dr Mahathir sejak 1998 hingga 2015.

Tetapi selepas pertemuan bersejarah pada 2015, sangat jelas yang kedua-duanya masih sayang satu sama lain. Malah, dalam ucapan di majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya pada Disember 2015, Azmin memuji-muji Dr Mahathir, menimbulkan rasa tidak senang mereka yang setia kepada Anwar yang turut jadi tetamu majlis.

Menjelang PRU14, Dr Mahathir terang-terangan mengatakan kepada rakan-rakan rapatnya, jika PH meletakkan nama Azmin sebagai calon perdana menteri PH, beliau akan tanpa ragu menyokongnya.

Beliau merasakan Azmin selaku menteri besar Selangor, negeri terkaya Malaysia telah buat kerja dengan baik dan mempunyai kemampuan untuk menerajui negara.

Tetapi Azmin tidak dicadangkan PH sebagai calon kerana tidak mempunyai sokongan penuh partinya. Ada juga kemarahan yang wujud dalam DAP kerana Azmin terus akrab dengan PAS walaupun selepas parti Islam itu keluar daripada pakatan pembangkang.

Dalam kecelaruan gabungan pembangkang ketika itu, Dr Mahathir diangkat jadi calon perdana menteri PH.

Beliau kini berada di puncak landskap politik Malaysia, susulan tsunami rakyat 9 Mei lalu.

Tugasnya sudah tertetap: membina semula institusi dan ekonomi Malaysia dalam jangka masa 24 bulan dan memastikan ada pasukan kuat yang akan melindungi perubahan yang beliau dan Daim mulakan.

Pelantikan Azmin selaku menteri persekutuan yang bertanggungjawab dalam kementerian utama adalah pemula kepada rancangan agung mengubah Malaysia ini.  – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen