Bayang-bayang Marcos menghantui Malaysia


The Malaysian Insight

DI sebuah kafe di deretan kedutaan di Ampang, dua wanita berumur asyik berbual pada petang semalam.

Di depan mereka terbentang beberapa naskhah akhbar. Mereka sibuk bersembang cerita yang jadi perhatian rakyat Malaysia: berapa banyak beg tangan, barang kemas, wang tunai dan lain-lain yang dijumpai oleh polis dari beberapa kediaman Najib Razak dan Rosmah Mansor serta dua unit kondominium milik seorang taikun hartanah.

Tiada apa yang dapat memenuhi rasa ingin tahu itu. Orang ramai terpaku pada skrin telefon pintar mereka menonton video siaran langsung atau klip video yang tersebar melalui media sosial.

Selepas bertahun-tahun spekulasi tentang kekayaan luar biasa bekas perdana menteri dan isterinya yang menjolok mata, apa yang ternampak sekarang bagaikan mimpi apabila segala desas-desus tentang kemewahan Rosmah mula tersingkap.

Rakyat Malaysia sedang menyaksikan pendedahan yang memalukan dan bagaimana maruah disentap daripada pasangan yang hanya 10 hari lalu memiliki segala-galanya – kuasa, prestij dan keyakinan bahawa semua itu akan kekal selama-lamanya.

Keyakinannya adalah Najib dan Barisan Nasional akan menang PRU14, dan beliau akan jadi perdana menteri selama mungkin yang beliau mahu.

Rakyat bersyukur semua jangkaan itu meleset dan Pakatan Harapan kini menerajui Putrajaya.

Klip video anggota polis membawa beg-beg berisi matawang asing dan mungkin jongkong emas tular. Begitu juga sekeping gambar menunjukkan Najib tampak lesu melihat pegawai polis menggeledah kediamannya di kawasan kejiranan elit di Taman Duta.

Ketika drama ini berlangsung, setiap maklumat – sama ada yang disahkan atau tidak – mengenai serbuan itu dihadam dan dikongsi. Semalam, Sin Chew Daily melaporkan polis merampas jongkong emas bernilai kira-kira RM100 juta.

Polis tidak menafikan dan tidak juga mengesahkan laporan itu. Pegawai kanan polis yang dikaitkan dengan operasi ini dalam masa 24 jam yang lalu, Amar Singh dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial hanya berkata masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang nilai pada barangan yang dirampas.

Sehingga ini, 284 beg tangan dalam kotak Hermes berwarna oren dan 72 beg berisi tunai dan barangan kemas dirampas oleh polis.

Untuk memenuhi kehendak penonton yang dahaga berita tentang kehidupan golongan kaya dan terkenal, stesen televisyen memberikan laporan minit demi minit sepanjang usaha pihak berkuasa membongkar kekayaan keluarga Razak ini.

Inilah detik-detik Marcos bagi Malaysia.

Pada 1986, Presiden Filipina Ferdinand Marcos dan isteri Imelda melarikan diri ke Hawaii. Diktator itu dan isterinya dipaksa melarikan selepas kebangkitan rakyat setelah berdekad-dekad mereka bergelumang dalam rasuah, membunuh musuh politiknya dan cuba menipu dalam pilihan raya.

Dalam kelam kabut meninggalkan Istana Malacanang, Imelda meninggalkan peti simpanan berisi mutiara, kotak besar menyimpan rantai manik, beratus-ratus barangan kemas, beratus-ratus pakaian berjenama dan lebih kurang 1,200 pasang kasut.

Pasangan Marcos itu juga mmpunyai hartanah bernilai AS$350 juta, terutamanya di Amerika Syarikat. Switzerland menyerahkan lebih kurang AS$683 juta simpanan dalam akaun bank atas nama presiden.

Selepas keluarga itu melarikan diri, media memberikan liputan menyeluruh tentang bagaimana keluarga pertama itu mengumpulkan kekayaannya selama bertahun-tahun berkuasa.

Rakyat Filipina terkejut mendengar Marcos didakwa menyelewengkan AS$10 bilion. Apabila mereka melarikan diri, 89 anggota keluarga dan pembantu mereka masing-masing membawa AS$10,000 seorang dan pesawat mereka membawa jongkong emas seberat 50 pound.

Pesawat kedua membawa 22 kotak berisi tunai AS$1.2 juta.

Rakyat Filipina, kebanyakan yang kais pagi makan pagi, terkejut bagaimana seseorang boleh ada lebih 1,000 pasang kasut.

Di Malaysia hari ini, sentimen dalam kalangan mereka yang makan gaji juga sama.

Bagaimana seorang wanita memerlukan 284 buah beg tangan? Apakah ada lagi selain ini?

Mereka bertanya dan mengkritik tetapi mereka mahu serbuan dan penggeledahan ini diteruskan. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen