EMPAT puluh pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dilihat meninggalkan kediaman Najib selepas berbuka puasa dan menunaikan solat terawih di situ.
Pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohammad Zahid Mahmood yang turut hadir bersama pelajar-pelajar berkenaan, dikerumuni wartawan ketika sedang menuju ke arah keretanya.
Walaupun beliau mengelak untuk menjawab soalan yang diajukan, pengetua itu berkata keadaan di dalam rumah itu tenang sahaja.
“Kami menunaikan solat terawih. Semuanya baik-baik saja,” katanya.
Apabila ditanya mengenai isteri Najib, Rosmah Mansor, Mohamad tidak menyatakan sama ada melihat atau tidak isteri bekas perdana menteri itu.
“Semuanya okay. Tenang saja, Alhamdulillah,” kata Mohamad.
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terletak di Jalan Datuk Keramat, terbakar pada September tahun lalu sehingga meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden.
Kebakaran dipercayai dimulakan di salah sebuah dorm di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu. – 18 Mei, 2018.
Komen