BARISAN Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang baru lepas menunjukkan tiada penipuan berlaku.
Bagaimanapun, Bersih 2.0 yang memantau perjalanan PRU14 berkata sebaliknya.
Pemangku Pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata senario yang berlaku ialah: PH menang meskipun SPR menipu dalam hampir semua aspek pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Dalam pilihan raya yang dianggap paling buruk bagi Bersih, Sahrul berkata SPR bertindak dalam cara yang didakwa memberi kelebihan secara tidak adil kepada BN.
Kempen secara sulit ini sangat jelas pada keseluruhan proses pilihan raya, bermula dari persempadanan semula, salah urus undi pos di luar negara dan hinggalah ke peraturan yang tiba-tiba diwujudkan semasa tempoh berkempen, katanya.
Shahrul Aman berkata Bersih juga menerima banyak aduan yang mencetus rasa curiga bahawa SPR mahu cuba mengubah keputusan PRU14 selepas pengiraan undi pada 9 Mei.
“Pada 2018, kita (Bersih) melihat peningkatan dari segi penipuan termasuk penipuan sistem yang boleh saya katakan lebih teruk daripada pilihan raya-pilihan raya lepas,” Shahrul Aman memberitahu Malaysia Decides.
“Kita pantau proses pilihan raya sejak persempadanan semula dan pendaftaran pengundi baharu. Akhirnya, keputusan menunjukkan terdapat desakan daripada beberapa pihak yang mahu memastikan mereka menang.”
Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi SPR Hashim Abdullah mendakwa kemenangan bersejarah PH ke atas BN menunjukkan pilihan raya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih.
Sebelum pilihan raya, Bersih 2.0 dan PH mengkritik SPR kerana cuba memihak kepada BN.
Salah satu contoh paling ketara, kata Shahrul Aman, ialah menjalankan persempadanan semula, yang bertujuan memberi manfaat kepada BN.
Hasil persempadanan semula menyaksikan kerusi Parlimen yang dipegang PH mempunyai purata 79,000 pengundi, manakala purata pengundi di kerusi BN adalah 45,000.
Dalam tempoh 11 hari berkempen, SPR mewujudkan peraturan baharu seperti gambar beberapa individu tertentu tidak dibenarkan diletakkan pada poster kempen, manakala beberapa calon dilarang memasuki pusat penamaan calon.
Di sepanjang tempoh 11 hari itu juga, pegawai-pegawai SPR memotong gambar Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang terdapat pada poster-poster pakatan itu.
Di kawasan Parliemen Rantau pula, calon PH, Dr S Streram dihalang daripada menyerahkan borang pencalonannya oleh seorang pegawai pengurus pilihan raya yang didakwa merupakan penyokong kuat Umno.
“Di laman Facebooknya, beliau berkempen untuk Umno bersama bekas menteri besar (Mohamad Hassan). Ini menjatuhkan kredibiliti SPR.”
Pada malam proses pengiraan undi, Bersih mendakwa kelewatan keputusan diumumkan bukanlah sesuatu yang normal berbanding pilihan raya terdahulu.
“Dahulu, memang menjadi trend kemenangan BN diumumkan awal bagi memberi laluan pembentukan kerajaan.”
Pemantauan ini selari dengan liputan pilihan raya yang dibuat Malaysia Decides di mana pengumuman keputusan tidak berganjak dari 9 malam sehinggalah ke tengah malam.
Bersih sedang menyemak beberapa dakwaan mengatakan pegawai-pegawai SPR enggan menandatangani Borang 14 - dokumen yang mengesahkan keputusan pilihan raya selepas semua undi telah dikira.
Dokumen ini perlu ditandatangani oleh SPR dan ejen-ejen dari semua parti yang bertanding sebelum keputusan bagi sesuatu kerusi diumumkan.
“(Kelewatan) ini mengesahkan lagi bahawa ada kemungkinan SPR pada masa itu cuba mengubah keputusan. Kita sedang mengesahkan perkara ini dan merayu kepada ejen pegiraan, malah pegawai suapay tampil ke depan jika mereka mempunyai bukti,” kata Shahrul Aman. – 19 Mei, 2018.
Komen