Cukai bagi Putrajaya, hakisan hak bagi Sabah dan Sarawak


Bede Hong

Pertikaian cukai pelancongan antara Putrajaya dan Malaysia Timur ini dikuatkan lagi dengan sentimen Perjanjian Malaysia 1963. – Gambar AFP, 13 Jun, 2017.

SEKIRANYA pertikaian mulut yang merentasi Laut China Selatan berkaitan cukai pelancongan boleh menjadi petanda sesuatu perkara, petanda itu adalah: rakyat Malaysia Timur sudah penat diperkotak-katikkan Putrajaya dan mereka mahu lebih hak dalam menentukan perjalanan hidup mereka.

Penentangan daripada pemimpin Sabah dan Sarawak tentang cukai itu pastinya tidak akan sekencang yang terjadi sekarang sekiranya tidak kerana wujudnya tuntutan ketara akar umbi yang mahukan lebih autonomi dalam pentadbiran negeri.

Apatah lagi dengan persekitaran sekarang apabila penduduk Malaysia Timur lebih berhati-hati untuk menerima dasar dari Putrajaya terutama sekali sekiranya ia melibatkan apa yang mereka percaya sebagai pencabulan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semakin ramai penduduk Malaysia Timur yang mengangkat status MA63 setaraf dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perbezaan politik antara parti politik dan kumpulan tempatan diketepikan seketika selepas Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah dibidas rakan sejawatnya di peringkat pusat Nazri Aziz apabila Karim mempersoalkan keperluan dan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal diperkenalkan itu.

Antara perubahan yang akan diperkenalkan ialah cukai itu membenarkan caj antara RM2.50 sehingga RM20 dikenakan untuk penginapan semalaman di hotel. Kerajaan mengatakan ia memerlukan pendapatan bagi mempromosikan Malaysia dan menambahbaik kemudahan pelancongan.

Pemimpin PKR Sarawak Baru Bian, yang beberapa hari sebelum ini menyifatkan persekitaran politik negeri sebagai suram selepas pembebasan tiga tertuduh yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Bill Kayong, bangkit mempertahankan rakan senegerinya.

“Dia (Nazri) membiarkan perangai samseng dirinya berleluasa dan menyembur penghinaan pedas kepada Abdul Karim. Mungkin kerana dia tidak mempunyai akal untuk penaakulan yang baik dan hujah perundangan..” kata Baru dalam satu kenyataan, menambah yang musuh sebenar adalah Umno dan laungan perjuangan sepatutnya ialah “orang Sarawak mempertahankan Sarawak”.

“Kita sebenarnya boleh berterima kasih kepada Nazri kerana keceluparannya ialah bukti Umno dalam diam menghina Sarawak dan Sabah,” kata wakil rakyat Bakelalan itu lagi. 

Baru berkata Parlimen mendapat kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan pelancongan pada 1994 dengan memasukkannya dalam Senarai Persekutuan melalui Akta Parlimen (Akta A855). 

“Bagaimanapun ini dilakukan tanpa rundingan dan kelulusan terlebih dahulu daripada kerajaan Sarawak dan Sabah. Kerana itu perundangan (keputusan memasukkan pelancongan dalam Senarai Persekutuan) tidak sah dan terbatal,” kata Baru yang merupakan seorang peguam.

Seorang lagi peguam, Abdullah Saidol yang merupakan pembantu menteri dalam hal ehwal korporat, bersetuju dan menambah yang perjuangan mendapatkan autonomi perundangan dalam urusan pelancongan adalah salah satu daripada 13 “pemerkasaan pentadbiran” yang diperjuangkan allahyarham Ketua Menteri Adenan Satem dalam perbincangan dengan Putrajaya yang bermula Januari lalu.

“Keangkuhan dan gaya Nazri tidak mengejutkan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya masih ingat kenyataannya September lepas bila dia berkata yang Sabah dan Sarawak tidak akan menerima bantuan daripada kementeriannya sekiranya kerajaan dua negeri ini menentang Akta Perkhidmatan Pelancongan,” kata Abdullah.

Cukai pelancongan yang ketika itu dikenali sebagai levi hospitaliti, menerima tentangan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaran Malaysia (Matta) dan Sabah.

Menteri Pelancongan Sabah Masidi Manjun juga menentang cadangan cukai itu mengatakan yang ia akan mengurangkan jumlah ketibaan pelancong dan kehilangan pekerjaan dalam industri.

Nazri bertindak balas dengan memberitahu Masidi supaya jangan “terlalu seronok” dan “bertindak terburu-buru” dan cukai itu masih akan diteruskan walau apapun yang berlaku kerana ia terletak dalam bidang kuasa persekutuan.

Presiden parti pembangkang Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan pula mengatakan memandangkan pelancongan tidak berada dalam MA63, ia sepatutnya menjadi kuasa residual milik kerajaan Sabah. 

Walaupun “pelancongan” tidak dibincangkan secara khusus semasa pembentukan Malaysia, ia ditambah sebagai perkara baru 25A dalam Senarai Persekutuan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan pada 1994. Jeffery mendakwa perbincangan kemasukan pelancongan dalam senarai itu mungkin tidak sah secara undang-undang walaupun ia diluluskan Parlimen pada 1994.

“Kerajaan persekutuan tidak mempunyai hak merampas kuasa residual negeri dalam aspek pelancongan…Cukai ini hanya membuktikan yang kerajaan terdesak untuk menampung kekurangan pendapatan untuk bajet,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

Bukan semua pihak di Sarawak mempertahankan Karim.

Pemimpin DAP Sarawak yang lebih skeptikal Chong Chieng Jen berkata ahli parlimen dari Malaysia Timur yang mula-mula menimbulkan masalah apabila bersetuju dengan usul cukai pelancongan di peringkat kabinet persekutuan.

Mensasarkan ahli parlimen Barisan Nasional Sarawak, Chong menuduh mereka mendiamkan diri dalam kabinet dan parlimen ketika rang undang-undang itu diluluskan pada 5 April.

“Usul cukai itu dibentangkan Nazri dengan autoriti dan keizinan kabinet yang mana ramai ahli parlimen BN Sarawak berada di dalamnya sebagai menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

“Adakah (mereka) dipaksa rakan sejawat mereka dalam Umno supaya meluluskan rang undang-undang itu? Atau sebenarnya mereka tidak pernah peduli tentang apa yang mereka luluskan dalam kabinet? BN Sarawak (dalam BN) hanya menyokong Umno walaupun merugikan orang Sarawak.”

Walaupun begitu, pakar politik ekonomi Andrew Aeria percaya yang pertelingkahan antara Nazri dan ahli politik Malaysia Timur tidak mempunyai kesan berpanjangan kepada hubungan jangka panjang Putrajaya-Malaysia Timur.

Tetapi profesor madya di Universiti Malaysia Sarawak itu memberitahu The Malaysian Insight: “ Apabila ahli politik bermulut celupar dan bertindak terburu-buru, tanpa mempertimbangkan untuk berbincang tentang dasar, ia adalah cerminan menyedihkan tentang budaya tidak matang politik kita dan kurangnya usaha dalam pembinaan negara.” – 13 Jun, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen