MOHAMED Azmin Ali akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor selepas dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata sumber.
Sumber PKR memberitahu Malaysia Decides, Azmin akan bertemu Sultan Selangor esok untuk memaklumkan pelantikannya sebagai menteri di peringkat pusat.
“Azmin akan menghadap Sultan Selangor esok untuk memaklumkan tentang pelantikannya sebagai menteri hal ehwal ekonomi.
“Sekiranya Sultan Selangor memberikan pekenan, Azmin akan melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor,” kata sumber kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.
Perkara itu turut disahkan Pengarah Komunikasi Strategik Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong
“Azmin akan bertemu Perdana Menteri secepat mungkin dan mengadap DYMM Sultan Selangor esok bagi menentukan kedudukan sama ada kekal menerajui negeri Selangor atau membantu pentadbiran Putrajaya sebagai mengeri hal ehwal ekonomi,” kata Yin dalam kenyataan, hari ini.
Sumber PKR turut memberitahu, sekiranya Sultan Selangor memperkenankan Azmin melepaskan jawatan menteri besar, timbalan presiden PKR itu akan mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) negerinya untuk membincangkan tentang penggantinya.
“Selepas mendapat persetujuan PH Selangor tentang siapakah bakal menggantikannya, barulah Azmin akan menghadap Sultan Selangor untuk menghantar nama penggantinya.
“Kemungkinan dua nama akan dihantar kepada Tuanku untuk dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baharu,” kata sumber itu.
Dalam satu kenyataan hari ini Dr Mahathir mengumumkan pelantikan anggota Kabinet yang akan mengangkat sumpah pada Isnin.
Antaranya ialah Azmin yang dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi.
Azmin sebelum ini sudah pun mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor. – 18 Mei, 2018.
Komen