PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin menegur golongan muda dalam Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya gopoh dan tidak sabar dalam menuntut perubahan.
Hinggakan, pemimpin muda ini mengkritik keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dibuat untuk kebaikan gabungan itu.
Bagaimanapun Daim berkata bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim tidak tergolong dalam mereka yang gopoh itu.
“Kadang-kadang dalam mana-mana parti politik terdapat mereka yang tidak sabar.
“Mereka yang gopoh, bukan Anwar. Anwar faham keadaan politik sangat jelas.
“Pemuda yang terburu-buru. Seperti kebanyakan orang muda mereka terburu-buru,” kataya pada sidang media di Menara Ilham hari ini.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, teguran itu dipercayai disasarkan kepada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Rafizi pada awal minggu ini mengkritik Dr Mahathir kerana menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.
Pada sidang media hari ini, Daim turut memuji Anwar yang menyatakan sokongan terhadap usaha Dr Mahathir melaksanakan reformasi ke atas institusi kerajaan seperti yang termaktub dalam manifesto PH.
“Saya mengatakan bahawa saya bertemu Anwar beberapa kali dan Anwar ialah seorang ahli politik sangat berpengalaman dan dia mengetahui dengan begitu baik.
“Dia tahu apa manifesto dan PH itu menawarkan Tun M (Dr Mahathir) sebagai perdana menteri sementara selama dua tahun dan rakyat menerima,” katanya.
Walaupun bersetuju dengan sumbangan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Anwar bagaimanapun memberi peringatan bahawa wujud kegelisahan terhadap penglibatan Daim dalam skandal terdahulu.
“Orang kata tak perlu ungkit kesilapan masa lalu, yang mana betul, tetapi bagi saya kalau kita mahu bercakap tentang akauntabiliti yang demokratik, ia tidak seharusnya terhad pada Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri).
“Namun, saya tidak fikir ia harus sehingga menjadi dendam,” kata Anwar seperti dipetik daripada laporan wawancara beliau dengan media. – 18 Mei, 2018.
Komen