Saya tahu di mana Jho Low, kata Daim


The Malaysian Insight

PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin mahu jutawan kontroversi Jho Low pulang segera ke Malaysia bagi membantu dalam siasatan skandal 1MDB.

Daim berkata Jho Low atau nama sebenarnya Low Teik Jho merupakan individu terbaik untuk memberi keterangan kepada majlis itu 

Malah, Majlis Penasihat juga telah mengetahui lokasi jutawan itu, katanya.

“Dalam kes 1MDB, saksi terbaik ialah Jho Low. Secara dasarnya, saya tahu di mana Jho Low berada.

“Harapnya Jho Low cepat balik ke Malaysia dan bantu kita untuk selesaikan masalah 1MDB,” kata Daim dalam sidang media hari ini.

Semalam, Majlis Penasihat telahpun mengumumkan penubuhkan jawatankuasa berasingan untuk menyiasat urusan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman diumumkan akan mengetuai jawatankuasa berkenaan.

Ahli lain jawatankuasa itu ialah seorang rakan kongsi PwC Risk Assurance Services Nik Shahrizal Sulaiman, seorang rakan kongsi kanan Naqiz Partners Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia Faris Rabidin dan Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni (C4) Cynthia Gabriel.

Dalam pada itu, Daim juga mengumumkan bahawa Majlis Penasihat telah mengadakan 40 mesyuarat sejak ditubuhkan Sabtu lalu dan juga menemui 50 individu yang terlibat termasuk pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

Daim berharap dalam tempoh 100 hari perkara ini selesai supaya beliau boleh meninggalkan masalah-masalah ini dan kerajaan dapat berfungsi dengan baik seperti janji Pakatan Harapan.

“Selepas ini saya akan balik, saya tak akan masuk kerajaan,” kata beliau. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen