Kos ECRL lebih daripada RM55 billion, kata Daim


The Malaysian Insight

MAJLIS Penasihat Kerajaan mendapati kos keseluruhan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding angka RM55 bilion yang diumumkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut pengerusinya, Daim Zainuddin, angka itu meningkat jauh lebih tinggi kerana beberapa dokumen dan maklumat yang diperoleh majlis tersebut tetapi beliau menunggu kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk mengumumkan hal itu.

“Kos projek ECRL bukan RM55 bilion, kos itu hanya membabitkan fasa pertama sahaja.

“Manakala fasa kedua mungkin melibatkan kos RM11 bilion, jika dihitung secara keseluruhannya angka kos keseluruhan menyiapkan projek kereta api ini lebih.. lebih daripada RM55 bilion.

“Hasil perbincangan ini dedahkan lebih RM55 bilion tapi biarlah kerajaan umumkan,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Daim dan anggota Majlis tersebut bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak Rabu lalu.

Menurut Darwis, operasi MRL masih berjalan seperti biasa dengan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan sebanyak 14 peratus setakat minggu ini.

Ketua Komunikasi Korporat syarikat MRL Rosmah Mahmud yang bertemu wartawan minggu lalu berkata Majlis Penasihat Kerajaan sedia maklum mengenai perkembangan sepenuhnya (kemajuan projek ECRL) setakat ini dan tiada sebarang arahan untuk menghentikan ECRL.

Seorang lagi anggota Majlis Penasihat, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram pula sebelum ini menegaskan ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dilihat sebagai satu projek yang tidak munasabah selain negara akan menanggung segala risiko dalam menyelesaikan hutang terbabit bersama faedah dalam tempoh dua dekad.

“Kita hanya perlu mempercepatkannya, bukan membangunkan kereta api laju atau kereta api bullet.

“Kereta api laju ini untuk siapa? Adakah orang dari Kota Bharu atau Kelantan akan datang kerja setiap hari di Kuala Lumpur?” katanya. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen