PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan akan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi memberi lebih kebebasan kepada pengamal media.
Dengan itu, kerajaan juga akan membatalkan sistem lesen mesin cetak dan permit bagi penerbitan bahan berkala, yang akan digantikan dengan satu garis panduan, katanya.
“Kita mungkin batalkan sistem lesen ini tetapi kita akan adakan garis panduan agar tidak ada mana-mana pihak yang melanggar batasan,” kata Dr Mahathir.
Menurut Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpinnya mahu media diberikan kebebasan namun perlu ada hadnya.
“Kita mahukan kebebasan media tetapi setiap kebebasan ada hadnya. Tiada kebebasan tanpa had.
“Takkan kita boleh benarkan sesaorang memaki di muka orang lain dan apabila dimarah, dia kata ‘itu kebebasan saya’. Tak bolehlah macam itu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji sekatan kepada kebebasan itu.
“Mana-mana yang buruk kepada negara akan dikaji,” kata Dr Mahathir lagi dalam dialog dengan sekumpulan para wartawan hari ini.
Mahathir juga tidak setuju dengan tindakan polis menahan seorang lelaki di Langkawi kerana menghina beliau melalui Facebook.
“Saya sudah maklumkan kepada pihak polis berkenaan ini. Undang-undang ini akan dikaji apabila Parlimen bersidang kelak,” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.
Jelasnya, beliau akan menjawab kritikan ke atas peribadinya dan tidak perlu meminta polis menangkap pengkritik terbabit. – 18 Mei, 2018
Komen