BARISAN Nasional (BN) Sarawak menolak “Perjanjian Baharu” Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 9 April lalu kerana parti itu tidak mengiktiraf Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jien atau dua penandatangan perjanjian berkenaan sebagai wakil undang-undang Kerajaan Persekutuan, kata Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol hari ini.
Dua penandatangan perjanjian itu ialah Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan Ketua Amanah Sarawak Fidzuan Zaidi.
“Pertama sekali, ia tidak konsisten dan melanggar usul yang disokong dan diluluskan oleh kesemua Adun Sarawak di Dewan Undangan Negeri,” kata Abdullah, mengulas kenyataan Chong pada Rabu bahawa tawaran PH berkenaan 20% royalti minyak, 50% kutipan cukai, autonomi dalam pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dalam manifesto pilihan raya mereka tidak lagi sah.
Chong berkata ini kerana BN Sarawak telah menolak tawaran tersebut.
Abdullah menepis dakwaan itu dan berkata Chong “hanya mengarut dan berusaha keras untuk mencari pelbagai alasan agar janji pilihan raya mereka itu tidak dipenuhi”.
“Pemimpin PH di Sarawak harus diingatkan bahawa dua usul berkaitan royalti minyak dan penurunan kuasa telah dibentangkan pada sidang DUN yang terakhir dan disokong oleh semua adun termasuk daripada pembangkang.
“Tuntutan atau rundingan perlu diuruskan dengan sewajarnya dan untuk perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau juga berkata PH sepatutnya berhenti berubah pendirian selepas Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata PH “tetap konsisten dalam pendiriannya dan ikhlas untuk memenuhi janji menegnai penurunan kuasa kepada Sarawak”.
Bagaimanapun, Kelvin berkata BN haru setuju untuk menerima tawaran itu jika mahu PH melaksanakan penurunan kuasa.
“Kita tidak boleh memberi mereka sesuatu yang mereka tidak mahu, walaupun kita lihat tiada alasan bagi mereka menolak tawaran tersebut sekiranya mereka benar-benar percaya pada penurunan kuasa,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Jeniri Amir bagaimanapun mempersoalkan adakah janji PH di dalam manifesto itu adalah untuk BN atau rakyat Sarawak.
“Sepatutnya PH memenuhi apa saja janji yang mereka buat di dalam manifesto kerana ini janji yang mereka buat kepada rakyat, bukan kerajaan negeri.
“Chong tidak sepatutnya berjanji hanya untuk meraih undi dan sokongan dalam PRU14. Inilah masanya untuk menunaikan janji,” katanya. – 18 Mei, 2018.
Komen