Najib dipanggil ke ibu pejabat SPRM Selasa depan


The Malaysian Insight

NAJIB Razak diminta hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Selasa minggu hadapan bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan SRC International.

Dilaporkan sebelum ini bahawa SRC International menyalurkan sejumlah RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015 melalui anak syarikatnya, Gandingan Menteri Sdn Bhd dan syarikat berasingan, Ihsan Perdana Sdn Bhd.

SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pejabat Peguam Negara Switzerland menyatakan bahawa siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati wang yang didakwa diselewengkan daripada SRC International itu disembunyikan menerusi skim “Ponzi”.

Sumber SPRM memberitahu Malaysia Decides hari ini yang fail siasatan kes SRC International tidak pernah ditutup.

“Kami hadir untuk serahkan notis kepada Najib bagi meminta beliau untuk hadir ke pejabat SPRM selasa depan untuk kenyataannya direkodkan berhubung kes SRC International,” kata sumber itu.

“Kami hadir untuk serahkan notis sahaja, tiada sebarang rampasan dilakukan di rumah berkenaan. Kes itu sentiasa terbuka, jadi ini hanyalah sambungan daripada siasatan tersebut.” – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen