Dr Mahathir mahu tubuh syarikat kereta nasional baharu ganti Proton


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia menubuh sebuah lagi syarikat pengeluar kereta nasional baharu selepas Proton terjual kepada negara asing.

“Kalau kita tidak dapat balik Proton, saya fikir nak buat kereta nasional yang baru,” kata Dr Mahathir dalam dialog khas dengan media Pakatan Harapan di Yayasan Al Bukhary hari ini.

Dr Mahathir berkata setiap negara menjaga kepentingan pengeluar kereta negara mereka termasuk negara-negara maju dan tidak salah untuk Malaysia berbuat demikian.

“Korea jaga kepentingan kereta nasional mereka. Tidak ada sebuah pun kereta Proton di Korea. Tidak ada kereta lain juga di Korea.

“Jepun pun sama. Negara itu jaga kepentingan kereta mereka,” kata bekas penasihat Proton itu.

Katanya, Proton pernah dapat memasuki pasaran England dengan baik tetapi ia terhenti selepas negara itu mengenakan syarat baru kepada kereta luar.

“Proton tak cuba memenuhi keperluan negara lain,” kata Dr Mahathir memberikan sebab kenapa Proton tidak lagi dapat memasuki pasaran kereta England.

Menurut Dr Mahathir, Proton telah dijual kepada syarikat China dengan hanya RM170 juta sahaja walaupun nilainya mencecah beberapa bilion ringgit berdasarkan aset dan rangkaian yang telah dibina.

“Semasa saya menjadi penasihat Proton, kerajaan tak bagi duit walaupun kita hanya minta bayar balik sahaja apa yang telah dibelanjakan,” kata Dr Mahathir. – 19 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen