Ahli Umno hadir di kediaman Najib nyatakan sokongan


The Malaysian Insight

AHLI Umno hadir di kediaman peribadi Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.

Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Shahar Abdullah berkata siasatan terhadap Najib dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) harus dijalankan secara berasingan kerana kedua-duanya kes itu tiada kaitan antara satu sama lain.

“Jika isunya tentang 1MDB jadi kita harus fokus terhadap 1MDB, jangan bawa isu lain masuk.

“Malaysia hari ini harus menunjukkan teladan yang baik kepada generasi masa hadapan.

“Apa yang berlaku hari ini harus ditangani secara berhemah, keadilan harus ditegakkan untuk bekas perdana menteri,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, Pemuda Umno Pahang hadir ke sini bagi menyatakan sokongan kepada Najib dan berharap rakyat Malaysia tidak menghukum berdasarkan maklumat yang diterima mereka melalui media sosial.

“Saya harap rakyat Malaysia tidak menghukum mengikut sosial media,” katanya.

Turut hadir menyatakan sokongan kepada Najib adalah bekas ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim, bekas timbalan menteri pertahanan Mohd Johari Baharum dan bekas menteri besar Kedah Ahmad Bashah Hanipah.

Peguam Najib, Harpal Grewal Singh turut berada di premis berkenaan.

Hampir keseluruhan proses menggeledah di rumah Najib yang bermula sejak malam Rabu lepas berakhir semalam.

Bagaimanapun, polis masih sedang berusaha membuka peti keselamatan yang dikatakan berusia lebih 20 tahun yang disimpan di rumah Najib.

Pada sidang media semalam, Harpal berkata Najib kini sedang disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen