PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan polis menjalankan operasi pemeriksaan sehingga awal di kediaman Najib Razak kerana pihak berkuasa perlu mengumpul bukti.
Katanya, kerajaan juga yakin bekas perdana menteri itu terlibat dengan jenayah dan polis perlu bertindak.
“Secara umumnya bagi kita, dia melakukan jenayah. Mengikut undang-undang, tidak kira siapa, kita kena mulakan sesuatu.
“Untuk menjatuhkan hukuman, kita perlu membawa bukti ke mahkamah dan kita perlu cari bukti,” kata Dr Mahathir.
Beliau mengulas mengenai aduan yang timbul ekoran tindakan polis yang menggeledah beberapa kediaman dipercayai dikaitkan dengan Najib dalam operasi sejak 48 jam lalu.
Menurut Dr Mahathir, banyak pihak membuat bantahan kenapa rumah Najib digeledah dan dibuat pada waktu malam.
Katanya, tindakan itu juga bagi membanteras rasuah yang perlu dimulakan dari peringkat tertinggi.
“Rasuah sudah jadi wabak sekarang. Ia pula bermula dengan pemimpin. Jadi kita terpaksa bertindak tanpa mengira siapa dia untuk menghentikan rasuah.
“(Najib) melakukan jenayah. Keluhuran undang-undang ini tidak mengira sesiapa,” kata Dr Mahathir dalam dialog dengan wartawan di Yayasan Al Bukhary hari ini.
Operasi polis antara lain menemukan peti besi di kediaman peribadi bekas presiden Umno itu di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Polis turut merampas 72 beg berisi barangan kemas, wang tunai dalam pelbagai mata wang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur dipercayai berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut polis, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga buah unit kediaman di kondominium tersebut di Jalan Raja Chulan.
Beliau berkata, nilai rampasan tidak dapat ditentukan lagi kerana jumlah barang yang dirampas adalah banyak. – 18 Mei, 2018.
Komen