KAKITANGAN butik aksesori mewah Hermes menganggarkan, nilai keseluruhan beg tangan mewah yang dirampas polis dalam operasi berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin mencecah jutaan ringgit.
Itu merupakan anggaran kasarnya berdasarkan jumlah 284 kotak, antara lain mengandungi beg tangan model Birkin yang dirampas polis di premis dikaitkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Kakitangan di butik Hermes di Kuala Lumpur itu berkata, Birkin merupakan jenama beg tangan keluaran label tersebut yang paling mewah dan eksklusif di dunia.
Setiap satunya berharga antara RM47,000 sehingga RM1 juta, kata kakitangan tersebut yang menambah, harga beg tangan itu bergantung kepada jenis kulit dan kemasan khas seperti hiasan batu permata.
Kakitangan yang enggan dinamakan itu berkata, tidak semua orang berpeluang membeli barangan jenama mewah daripada Paris itu kerana ia sangat eksklusif dan pelanggan yang berminat perlu mengikut giliran.
“Di Malaysia senarai menunggu sangat panjang. Ada pembeli yang menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan beg tersebut tetapi masih tidak dapat membeli.
“Bagi pasaran di Malaysia hanya sebuah beg tangan Birkin dikeluarkan dalam setahun,” katanya kepada Malaysia Decides.
Katanya jenama tersebut sangat ekslusif di mana tidak akan ada sebarang beg tangan Birkin akan dipamerkan di butik tersebut yang terletak di sebuah pusat beli belah terkenal di ibu kota.
“Anda tidak boleh datang begitu saja masuk ke dalam butik dan membeli beg kerana beg tangan tersebut tidak akan ada. Anda perlu membuat tempahan khas jika anda pembeli yang berminat,” katanya.
Beliau membuat anggaran harga ke atas beg tangan jenama Birkin yang ditemui polis dalam 284 kotak di dua unit kondominium mewah Pavilion Residences, Kuala Lumpur.
Polis menjalankan operasi itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pembiayaan Anti-Keganasan dan Perolehan Akta Kegiatan Undang-Undang (2001).
Selain beg tangan jenama Birkin, turut dirampas ialah beg tangan mewah jenama Chanel.
Menurut seorang jurujual yang menjual beg jenama mewah di pasaran dalam talian berkata, seperti juga model Birkin, harga beg tangan Chanel bergantung kepada jenis kulit digunakan dan kemasannya.
“Setiap satu beg yang biasa boleh cecah dalam RM10,00 hingga RM20,00 tapi jika beg itu menggunakan kulit buaya atau ular ia boleh mencecah RM30,00 ke atas,” kata jurujual itu yang mahu dikenali sebagai Genie.
Wanita itu turut mengaku bagi wanita terdapat trend membeli beg tangan berjenama sebagai bentuk pelaburan.
“Macam kita memang membeli beg jenama yang terpakai, tapi ia bergantung juga pelaburan boleh dikira kalau anda mempunyai beg yang sangat koleksinya edisi terhad, kerana tidak semua kita boleh kata sebagai pelaburan,” katanya. – 18 Mei, 2018.
Komen