PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Kelantan dan Terengganu akan menerima royalti petroleum.
“Mereka akan mendapat royalti petroleum selepas ini. Mereka akan menjadi kaya-raya,” kata Dr Mahathir pada sesi dialog bersama media Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Al Bukhary hari ini.
Menurut Dr Mahathir, kerajaan Persekutuan turut menerima sebahagian royalti petroleum.
Kerajaan negeri Terengganu menerima 5% royalti petroleum daripada Petronas namun ia ditamatkan selepas empat bulan PAS memenangi kerajaan negeri pada 1999 ketika Dr Mahathir adalah perdana menteri.
Susulan itu, kerajaan negeri Terengganu menyaman Petronas dan kerajaan Persekutuan namun ia ditarik balik selepas BN memenangi semula kerajaan negeri pada 2004.
Kerajaan negeri Kelantan pula berpendapat negeri itu berhak mendapat royalti petroleum sebagaimana Terengganu.
Ia diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui bekas exco kanannya Husam Musa.
Semasa kempen PRU14 baru-baru ini, Dr Mahathir bersetuju untuk memberikan Kelantan royalti petroleum jika PH memenangi kerajaan negeri dan Persekutuan. – 18 Mei, 2018.
Komen