PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, kedudukan beliau sebagai menteri pendidikan akan dikaji semula selepas menyedari ia bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Katanya, keputusan untuk menentukan sama ada beliau akan kekal memegang jawatan menteri pendidikan atau tidak terserah kepada pimpinan PH.
“Saya tidak sedar perkara ini bahawa perdana menteri tidak boleh memegang apa-apa portfolio lain dalam Kabinet, kecuali kementerian kewangan, sehinggalah saya diberitahu tentang manifesto.
“Oleh itu, kita akan bincangkan semula perkara ini,” kata Dr Mahathir pada dialog dengan pengamal media PH di Yayasan Al Bukhary hari ini.
Menurut Dr Mahathir, pendidikan amat dekat dengan dirinya dan bercadang untuk memberikan sumbangan dalam bidang tersebut memandang terlalu banyak kerja perlu dibuat terhadap pendidikan negara.
“Selepas saya umumkan, mereka baru beritahu saya, perdana menteri tidak boleh memegang portfolio lain tetapi timbalan perdana menteri boleh,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, beliau sentiasa dikaitkan dengan pendidikan meskipun selepas bersara.
“Selepas bersara sebagai PM, saya duduk dalam beberapa jawatankuasa dan banyak pelaksanaan dibuat berdasarkan idea saya,” katanya.
Katanya, banyak perkara dalam aspek pendidikan yang memerlukan kajian semula.
Beliau juga mempunyai beberapa idea untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia khususnya melibatkan pengajaran Bahasa Inggeris.
Pendidikan moral juga perlu dikaji balik kerana ia bermula dengan pendidikan di peringkat rendah lagi, tambahnya. – 18 Mei, 2018.
Komen