Penduduk Tanjung Bungah tuntut ketelusan projek NCPR


The Malaysian Insight

PERSATUAN Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) hari ini menggesa pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow agar berlaku telus dalam pembinaan projek Jalan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR).

Persatuan itu berkata kerajaan negeri harus berlaku telus dalam aspek membabitkan kesan terhadap penduduk dan perlu menjelaskan sama ada terdapat langkah alternatif yang telah dipertimbangkan namun tidak boleh dilaksana serta sama ada Pelan Tindakan Negeri (SAP) mampu menangani kebimbangan orang ramai.

Pengerusi TBRA Meenakshi Raman berkata persatuan itu difahamkan bahawa Jabatan Alam Sekitar memerlukan SAP bagi membolehkan sesuatu projek itu dilaksanakan, bertujuan untuk memastikan sebarang isu yang dibangkitkan oleh orang awam dapat ditangani sebelum mendapatkan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Kami mengesa ketua menteri untuk mendedahkan SAP kepada umum supaya kami boleh menyemak sama ada kebimbangan kami telah diatasi secara efektif dan diberikan maklum balas.

“Kami juga mahu tahu sama ada SAP telah menyelesaikan isu berbangkit berhubung bencara banjir dan tanah runtuh yang berlaku pada 5 November akibat hujan lebat, yang turut menjejaskan kawasan di mana jalan NCPR akan dibina sejajar dengan Tanjung Bungah.

“Ini harus dilakukan sebelum sebarang kerja-kerja NCPR dijalankan… Ia harus selari dengan manifesto Pakatan Harapan dan kerajaan negeri mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

NCPR adalah jalan alternatif baru yang menghubungkan Teluk Bahang dan Tanjung Bunga di utara Pulau Pinang.

Ia adalah salah satu daripada projek lebuh raya mega yang menelan belanja berbilion ringgit termasuk terowong dasar laut yang menghubungkan Butterworth ke Gurney Drive.

Pada Isnin, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang baru, Chow berkata kerajaan negeri akan meneliti semula pelaksanaan dua daripada tiga projek lebuh raya, yang telah menerima kelulusan EIA. Satu daripadanya adalah projek NCPR.  

Meenakshi berkata kebimbangan mengenai projek berkenaan telah dibangkitkan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar, berhubung “impak serius terhadap sosial dan alam sekitar” berikutan pelaksanaan projek NCPR terhadap kehidupan ribuan penduduk.

Beliau berkata EIA menunjukkan kira-kira 46% daripada jalan yang dicadangkan akan dibina di kawasan yang kecerunannya melebihi 25 darjah, dan dikenalpasti sebagai “tanah bukit sensitif”.

Beliau berkata cadangan kerajaan mengenai laluan NCPR yang akan berakhir di Lembah Permai di Tanjung Bungah ke Straits Quay masih belum jelas.

Beliau menambah yang NCPR akan memendekkan jarak perjalanan sebanyak 14 minit bagi pengguna yang berulang alik antara Teluk Bahang dan Tanjung Bunga dengan kos permulaan sebanyak RM1 bilion, namun ia katanya tidak menyelesaikan masalah kerana trafik akan bertambah untuk tahun-tahun mendatang.

Di Tanjung Bungah, isu pembangunan adalah topik hangat yang dibangkitkan penduduk, kumpulan sivil dan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya lepas.

Semasa kempen, TBRA turut menggesa calon yang bertanding agar menghormati alam sekitar dan menolak sebarang pembangunan di lereng bukit.

Calon PH dari DAP Zairil Khir Johari memenangi kerusi Tanjung Bungah. Beliau kini merupakan exco kerja raya, utiliti dan tebatan banjir.   – 18 Mei, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen