Henti guna undang-undang antikritikan, kata pemerhati media


The Malaysian Insight

PENGGUNAAN undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) terhadap mereka yang menghina pemimpin negara mesti dihentikan susulan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji undang-undang tersebut di Parlimen, kata kumpulan pemerhati media, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

CIJ berkata ia mengalu-alukan tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan penangkapan seorang lelaki yang menghina beliau di Facebook dan menyeru mengkaji semula undang-undang itu.

“Bagaimanapun, penggunaan undang-undang ini dalam masa yang sama mesti dihentikan untuk mencegah kesan yang lebih menakutkan yang dapat mendiamkan ulasan politik, pendapat atau kritik,” kata CIJ dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menyatakan Seksyen 233 CMA digunakan untuk mendiamkan kritikan terhadap pihak berkuasa oleh rejim pemerintah terdahulu.

“Pada 2017 sahaja, ia digunakan dalam 22 kes untuk menangani dakwaan penghinaan terhadap perdana menteri, polis, peguam negara, parti politik dan pemimpin.”

CIJ berkata undang-undang itu mempunyai “definisi lebih luas” bersama dengan hukuman berat yang melanggar hak Perlembagaan bagi kebebasan bersuara.

Perkataan undang-undang yang dianggap “menjengkelkan” sebagai kesalahan adalah samar-samar dan subjektif, tambahnya.

CIJ berkata terdapat undang-undang yang mencukupi di bawah Kanun Keseksaan bagi pihak yang tidak berpuas hati untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebabkan rasa terhina atau tersinggung.

Hukuman di bawah CAM adalah penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM50,000 kerana menyiarkan kandungan menyinggung perasaan yang “menjengkelkan” orang lain.

CIJ berkata tindakan ini melampaui sekatan yang sah terhadap kebebasan bersuara seperti menghalang mencetus keganasan atau keselamatan negara. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen