Pembahagian menteri Kabinet utama Pakatan selesai


The Malaysian Insight

PEMBAHAGIAN portfolio Kabinet utama dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) selesai dalam mesyuarat Majlis Presiden semalam, kata seorang sumber yang maklum tentang perkara itu.

Sumber berkata, pada ketika ini 13 portfolio Kabinet sudah selesai dalam mesyuarat PH semalam termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

“Yang sudah sah akan berada dalam Kabinet ialah Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri, Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan, Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

“Kemudian baki 8 portfolio Kabinet dibahagikan dua mengikut setiap parti antara PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

“Untuk Bersatu satu sudah diumumkan Dr Mahathir akan mengambil portfolio pelajaran dan PKR satu diumumkan Dr Wan Azizah akan mengambil portfolio hal ehwal wanita dan kebajikan masyarakat,” kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber itu berkata, ini bermakna hanya enam lagi menteri Kabinet yang belum diumumkan dan perdana menteri akan membuat pilihan daripada senarai yang dihantar setiap parti PH.

Satu lagi sumber memberitahu Malaysia Decides, baki enam portfolio akan diumumkan pada Isnin depan oleh perdana menteri.

“Pemilihan 13 portfolio utama ini tidak dilakukan bedasarkan kuota kemenangan setiap parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ini lah kebijaksanaan Tun, untuk 13 menteri utama ini, beliau mahu setiap parti dalam PH mendapat pembahagian yang sama rata, untuk baki portfolio lain nanti, baru dibuat mengikut kuota kemenangan parti,” kata sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Selepas lebih seminggu memenangi PRU14, perdana menteri Dr Mahathir masih belum membentuk Kabinet.

Pada sidang media diadakan semalam, Dr Mahathir hanya mengumumkan beliau akan mengambil potfolio pelajaran dan Dr Wan Azizah akan mengambil hal ehwal wanita dan kebajikan masyarakat.

Bagaimanapun, sepanjang seminggu menjadi perdana menteri, pelbagai perkara sudah dilakukan Dr Mahathir yang berusia 93 tahun.

Antaranya ialah menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan, memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menghalang bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor daripada meninggalkan negara, mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memulangkan cukai yang dikutip secara tidak sah, membebaskan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan banyak lagi. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen