PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad yakin yang beliau dan bekas timbalannya Anwar Ibrahim boleh bekerjasama dengan baik demi kepentingan negara.
“Semua berjalan baik sekarang. Kita boleh berjumpa dan berbincang, kita tidak bincang banyak tentang masa lepas,” kata Dr Mahathir pada sesi dialog bersama pengamal media Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Mengikut persetujuan yang dicapai oleh PH, Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri selepas Dr Mahathir.
Semalam Majlis Presiden PH mencapai kata sepakat, Anwar akan berada dalam ‘Top 6’ gabungan itu selepas Anwar dibebaskan beberapa hari lalu.
Dr Mahathir tidak menolak, ada usaha-usaha dibuat untuk melagakan beliau dengan bekas timbalannya itu.
“Orang lain yang dok (sedang) korek. Buat apa kita tanya yang lepas, kita kena tanya apa yang hendak dibuat di masa depan,” katanya.
Bagi beliau, jika mahu dilihat masa lepas, tidak ada perkara yang boleh dilakukan.
“Jika kita lihat masa lepas, tidak ada antara kita boleh berbincang sesama sendiri,” katanya.
Dr Mahathir mengakui yang beliau ada bebeza pendapat dengan Anwar tambahan pula latar pendidikan mereka juga berbeza.
“Saya ada beza dengan Anwar… Kami belajar pun berbeza. Masa krisis ekonomi dulu dia sokong IMF, saya tidak setuju. Pada masa itu saya ambil alih peranan itu sebagai perdana menteri,” kata Dr Mahathir.
Bagi beliau, ketika itu beliau berpandangan, jika negara meminjan wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), negara akan sentiasa terikat dengan hutang.
“Jika saya biarkan dia buat begitu, kita tidak akan mampu bayar hutang,” kata Dr Mahathir. – 18 Mei, 2018.
Komen