Nik Omar dilarang jadi imam di Masjid Tok Guru


The Malaysian Insight

NIK Omar Nik Aziz, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, dilarang menjadi iman dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru di Kelantan.

Berita Harian melaporkan anak sulung bekas pemimpin PAS, Allahyarham Niz Abdul Aziz Nik Mat itu, berkata yang beliau dilarang daripada menjalankan tugas itu di masjid tersebut.

Nik Omar memberitahu akhbar berbahasa Melayu itu beliau sepatutnya menyampai kuliah Maghrib pada setiap malam Rabu dan Khamis, serta waktu Subuh pada Jumaat. Ia dipersetujui secara tidak rasmi oleh adik beradiknya sejak kematian Nik Aziz pada 2015.

“Cuma Subuh (pagi) tadi, adik ambo (saya), Nik Abduh terus menjadi Imam dan memberi kuliah. Selepas itu dia bersalam (dengan saya), cumo ambo kata tidak apakah bersalam, tidak najis ke ambo?

“Dia (Nik Abduh) kata ini keputusan keluarga. Jadi ambo tidak dibenar menjadi imam dan bagi kuliah di situ. Bermakna ini harga yang terpaksa ambo tanggung.

“(Apapun), apabila saya pergi (menyertai PH), tidak akan undur ke belakang,” kata seperti dipetik Berita Harian.

Ini adalah tamparan terbaru kepada Nik Omar, yang mengejutkan parti Islam itu pada saat-saat akhir apabila mengambil keputusan untuk bertanding di Chempaka sebagai calon PH menggunakan logo PKR pada hari penamaan calon.

Sejak itu, beliau digelar sebagai pengkhianat dan hubungan dengan ibunya, balu Nik Aziz, menjadi semakin rengang.

Walaupun berjaya menyentuh hati banyak pihak, termasuk bukan Islam, dan dikatakan membawa aura bapanya, Nik Omar bagaimanapun tewas dalam pertandingan tiga penjuru di Chempaka.

PAS berjaya mempertahankan Kelantan, sebuah negeri yang merupakan kubu kuat parti tersebut.  – 18 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen