BEKAS Perdana Menteri Najib Razak mungkin disiasat kerana penyalahgunaan kuasa ketika kerajaan baru sedang mengumpul bukti salah laku yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut laporan Bloomberg hari ini.
Mengutip sumber, Bloomberg berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan kemungkinan skop siasatan terhadap 1MDB.
Kesalahan mungkin termasuk penindasan saksi dan sekatan kes jenayah Bank Negara.
Kesalahan lain mungkin termasuk jenayah pecah amanah yang melibatkan surat sokongan dari Kementerian Kewangan untuk bon 1MDB, pelaburan penipuan oleh 1MDB, terbitan bon tanpa kebenaran oleh 1MDB dan dana yang masuk ke dalam akaun bank Najib.
Peguam Najib, Harpal Singh Grewal, semalam berkata anak guamnya “bersedia dan sanggup memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan”.
Setakat ini, polis menyerbu beberapa pangsapuri yang dikaitkan dengan Najib dan mengumpulkan bukti, seperti beg tangan dan jam tangan serta wang tunai.
Kerajaan Pakatan Harapan yang baru dipilih berjanji membuka semula siasatan berhubung peranan Najib dalam skandal 1MDB semasa kempen.
Najib dan beberapa individu yang berkaitan dengan 1MDB, seperti Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda, pengerusi 1MDB dan bekas setiausaha perbendaharaan negara Irwan Serigar Abdullah, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar, bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad dan Peguam Negara Apandi Ali dihalang daripada meninggalkan negara ini.
Perdana menteri yang baru dipilih Dr Mahathir Mohamad berkata pada Rabu, beliau juga akan cuba mendapatkan semua dana yang diambil daripada 1MDB dengan menghubungi Switzerland, Amerika Syarikat dan Singapura.
Menurut Jabatan Kehakiman AS, kira-kira AS$3.5 bilion (RM14 bilion) hilang daripada 1MDB.
Najib menafikan sebarang kesalahan dalam skandal itu. – 18 Mei, 2018.
Komen