Majlis Penasihat Kerajaan setuju RCI siasat skandal Felda, kata aktivis


The Malaysian Insight

AKTIVIS hak peneroka Felda, Mazlan Aliman berkata Majlis Penasihat Kerajaan bersetuju yang satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diadakan ke atas skandal melibatkan agensi tersebut.

Mazlan yang mempengerusikan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, RCI itu akan dapat menyiasat ketirisan dan kerugian Felda serta anak syarikatnya yang kini menanggung hutang mencecah RM6 bilion.

Mazlan berkata anggota Majlis Penasihat Kerajaan memberi persetujuan itu susulan permintaannya agar siasatan dijalankan untuk mengesan aset Felda.

“Kita minta RCI diwujudkan supaya dapat didedahkan mana pergi ketirisan mengenai semua harta aset wang Felda, terutamanya masa zaman Isa Samad (bekas pengerusi Felda).

“Masyarakat Felda tidak tahu apa sebenarnya berlaku pada kewangan Felda kerana kita mendapat gambar jelas keadaan kewangan Felda sangat kritikal.

“Menurut laporan audit negara 31 Disember 2016 di mana kerugian bersih ditangung Felda adalah RM1.3 bilion dan beban hutang RM6 bilion,” kata Mazlan.

Beliau bercakap kepada media di Lobi Menara Ilham selepas pertemuan selama lebih 30 minit dengan majlis penasihat itu.

Dalam pertemuan itu, Mazlan turut menyampaikan cadangan pembaikan Felda setebal 46 muka surat yang menurut beliau diterima oleh majlis penasihat tersebut.

Antara lain, ia menyarankan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi insentif bantuan kepada peneroka dengan segera sempena hari raya dan menuntut janji manifesto untuk melupuskan separuh hutang peneroka.

“Kita bangkitkan janji 100 hari mengenai Felda hutang-hutang peneroka. Ia agak serius bila hutang peneroka mencecah RM100,000 seorang dan mungkin akan meningkat jika tidak ada mekanisme untuk tanganinya,” kata beliau.

Terdahulu panel tersebut mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures (FGV), Zakaria Arshad yang pernah digantung jawatannya kerana membantah pelaburan “tidak masuk akal” melibatkan gergasi perladangan tersebut.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Eksekutif Felcra Zulkarnain Md Eusope ketika ditemui media pula enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan beliau dan Majlis Penasihat Kerajaan itu.

“Pertemuan biasa saja. Bukan operasi atau pengerusi (Felcra) hanya mengenai penambahbaikan,” kata beliau selepas keluar kira-kira jam 1 petang tadi.

Pengerusi Felcra yang juga Ahli Parlimen Umno dari Kinabatangan Bung Mokhtar Radin masih tidak meletakkan jawatan dalam badan itu sehingga kini. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen