BEKAS menteri Kabinet Rais Yatim berharap agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan memupukkan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bermula di sekolah.
Sambil memuji keadaan negara yang sedang kembali kepada keluhuran undang-undang, Rais yang pernah menjadi penasihat kerajaan bekas perdana menteri Najib Razak meminta orang ramai menerima baik Dr Mahathir sebagai menteri pelajaran.
“Cuma dihajatkan bahasa Melayu dan amalan budi tak dicicirkan.
“Sekolah kebangsaan mesti ada pilihan bahasa Mandarin, Arab, Tamil dan lain-lain. Pupukkan rakyat Malaysia dari sekolah,” tulis Rais di akaun Twitter rasminya @drraisyatim hari ini.
Rais antara pemimpin veteran Umno yang keluar membantu kempen Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu selain bekas menteri Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz.
Semalam Dr Mahathir mengumumkan beliau akan memegang portfolio menteri pelajaran sementara Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memegang portfolio hal ehwal wanita dan kebajikan masyarakat. – 18 Mei, 2018.
Komen