NAJIB Razak kelihatan tenang walaupun sudah masuk hari ketiga polis melakukan pemeriksaan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, kata Pengerusi Gabungan Gerakan NGO Selangor Nazilah Idris.
Beliau tiba di rumah Najib bersama dua yang lain kira-kira jam 11 pagi dan beredar pada tengahari.
“Persekitaran rumah juga tenang dan saya terharu Datuk Seri Najib tenang dalam situasi sebegitu.
“Orang yang bersalah tidak akan mampu tenang dalam keadaan seperti ini,” katanya.
Apabila ditanya mengenai situasi isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak-anaknya, Nazilah mengatakan mereka berada dalam rumah tetapi beliau tidak berjumpa dengan mereka.
Katanya lagi, Najib dan keluarga tidak seharusnya dilayan sebegitu dan mendesak kerajaan semasa bersikap adil terhadap mereka.
Apabila diminta mengulas mengenai barangan yang dirampas dari rumahnya dan 350 beg tangan berjenama diambil dari sebuah kondominium mewah dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, Nazilah mengatakan perkara itu tidak perlu menjadi spekulasi kerana keluarga Najib memang kaya sejak dahulu.
“Ia tak perlu dispekulasikan kerana barangan tersebut tidak ada kaitan dengan 1MDB,” katanya.
Malam tadi, polis merampas 350 beg tangan berjenama dan beg pakaian mengandungi wang tunai, barangan kemas dan pelbagai barangan mewah lain selepas 30 jam menggeledah sebuah kondominium di Pavilion Residence.
Barangan yang dirampas itu memenuhi lima buah lori. – 18 Mei, 2018.
Komen