Dr Mahathir tak setuju tindakan terhadap pengkritiknya


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil polis terhadap pihak yang mengkritiknya.

Menulis di akaun Twitter rasminya @chedetofficial Dr Mahathir berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung hal ini.

“Undang-undang ini akan dikaji apabila Parlimen bersidang kelak,” tulis pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hari ini.

Semalam media melaporkan polis menahan seorang lelaki kerana menghina perdana menteri.

Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi menerusi Facebook berkata suspek ditangkap berikutan laporan polis oleh beberapa NGO yang tidak berpuas hati dengan “penghinaan keterlaluan terhadap Dr Mahathir dan agama Islam”.

Suspek turut ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

Laman Facebook itu juga menggunakan hashtag #lessonlearn dan #berhemahketikaberbicara dalam hantarannya.

Semalam beberapa anggota masyarakat sivil membidas pihak polis kerana menahan seorang lelaki yang didakwa Dr Mahathir.

Beberapa peguam termasuk bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, berkata tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan di bawah kerajaan baru.

Sementara itu pengarah eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen berkata penangkapan itu merupakan pembaziran sumber polis.

“Saya harap Dr Mahathir akan beritahu pihak polis bahawa beliau tidak memerlukan ‘perlindungan’ mereka daripada komen-komen yang dibuat di media sosial.

“Dr Mahathir sudah mentadbir sekarang, dan saya harap polis tidak lagi membazirkan sumber untuk menyiasat kes-kes remeh itu,” kata Paulsen dalam satu kenyataan. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen