CEO gembira FGV kini bebas pengaruh politik


The Malaysian Insight

KETUA Pengarah Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Sdn Bhd, Zakaria Arshad gembira dengan pendekatan pentadbiran baharu Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya membebaskan firma tersebut daripada campur tangan politik.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa hampir sejam untuk bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini, dipercayai bagi menjelaskan mengenai pelaburan kontroversi melibatkan FGV.

Zakaria berkata dalam pertemuan itu Majlis Penasihat Kerajaan juga memberi cadangan penambahbaikan ke atas firma berkenaan.

Bagaimanapun idea penambahbaikan itu masih lagi rahsia buat masa ini sehingga ia dibentangkan kepada lembaga pengarah FGV terlebih dahulu, katanya.

“Saya tidak boleh kongsi sekarang, tetapi saya sokong dengan kerajaan baru ini yang memberi kebebasan kepada GLC untuk bertindak sebagai tanpa campur tangan politik dan membiarkan ia diputuskan okeh profesional,” kata beliau ketika ditemui media di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.

Zakaria menghabiskan masa hampir sejam bertemu dengan anggota majlis tersebut – Daim Zainuddin,  Zeti Akhtar Aziz,  Hassan Merican, Dr Jomo Kwame Sundaram dan Robert Kuok Hock Nien.

Kuok bagaimanapun tidak hadir dan diwakili oleh Oh Siew Nam.

Zakaria sebelum ini pernah digantung jawatannya tahun lalu apabila membantah pelaburan “tidak masuk akal” FGV dan badan induknya Felda.

Antara lain, beliau mendakwa diketepikan dalam keputusan melabur dalam Felda Cambridge Nanosystems Ltd, untuk mengeluarkan nanokarbon.

Zakaria berkata yang anak syarikat Felda itu kita sedang mencari £100 juta (RM550 juta) untuk mengembangkan operasi selepas kerugian RM117 juta dalam masa empat tahun.

Salah seorang ahli majlis penasihat, Dr Jomo pada tahun lalu pernah membangkitkan kebimbangan yang skandal FGV lebih serius berbanding 1MDB.

Antara perkara yang diperhatikan Dr Jomo adalah apabila harga saham FGV kini menyusut 40% daripada nilai asalnya.

Ia melibatkan saham peneroka Felda yang mengambil bahagian dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) terbesar dunia itu apabila FGV disenaraikan pada pertengahan 2012.

Majlis Penasihat Negara pada hari ini juga dijadualkan bertemu dengan beberapa pihak lain yang terlibat dalam isu berkaitan Felda, termasuk aktivis dan pengerusi NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen