POLIS meminta pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan laporan polis mengenai butiran barangan yang dirampas daripada kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak di Taman Duta.
Laporan itu yang didakwa ditulis oleh seorang pegawai kanan Ibu Pejabat Polis tular mempunyai butiran jumlah wang tunai, beg tangan, jam tangan dan pelbagai barangan mewah lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh memberitahu Malaysiakini dalam satu mesej pesanan ringkas meminta laporan itu tidak ditularkan, menambah yang polis akan mendedahkan semuanya apabila mereka bersedia.
Malaysiakini juga melaporkan walaupun nama Najib tidak disebut dalam laporan itu, alamat dalam laporan itu adalah alamat rumahnya.
Awal hari ini, Amar mengadakan sidang media mengumumkan polis merampas 72 beg pakaian pelbagai saiz mengandungi wang tunai, barangan kemas dan barangan berharga lain dari sebuah unit kondominium mewah di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.
Polis juga merampas 284 beg tangan berjenama, semua barangan dirampas terpaksa diangkat menggunakan lima buah lori polis. – 18 Mei, 2018.
Komen