Senator BN tidak akan letak jawatan, kata laporan


The Malaysian Insight

SERAMAI 54 senator Barisan Nasional (BN) di Dewan Negara tidak akan meletak jawatan kerana tidak ada keperluan undang-undang untuk mereka melakukannya di bawah kerajaan persekutuan yang berbeza, lapor The Star.

Memetik kenyataan seorang senator yang enggan dinamakan, semua senator BN akan menyempurnakan penggal mereka, susulan ulasan oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram yang semua senator harus meletakkan jawatan untuk membenarkan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang baru melaksanakan mandat rakyat.

“Tiada undang-undang sedemikian. Oleh itu, kami tidak perlu pergi. Kami dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti Dewan Rakyat, di mana wakil rakyat diundi oleh rakyat,” kata senator itu.

Beliau berkata peranan Dewan Negara untuk mengkaji undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan kerajaan persekutuan PH tidak perlu risau mengenai percubaan senator BN menentang undang-undang yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami tidak akan menjadi ancaman kepada kerajaan atau mahu mensabotaj pentadbiran baru. Peranan kami semata-mata untuk semak dan imbang dalam kerajaan,” katanya.

Senator BN adalah daripada pelbagai parti komponen, dengan Umno paling banyak iaitu 30. Dewan Negara ketika ini mempunyai 66 senator.

Sri Ram juga mengatakan presiden Dewan Negara perlu meletakkan jawatan supaya kerajaan PH boleh melantik calonnya sendiri. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen