Pengguna media sosial hilang simpati terhadap Najib, Rosmah


The Malaysian Insight

PENGGUNA media sosial tidak bersimpati terhadap penulis blog dan penyokong pro Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, yang mengatakan pasangan itu tidak sepatutnya menerima layanan keras daripada pihak polis di bulan Ramadan.

Ketika serbuan polis terhadap kediaman peribadi Najib diteruskan, orang ramai terus mencemuh pasangan itu juga.

Mengulas di laman Facebook Kaki Share yang menyiarkan siaran berita Astro Awani secara langsung mengenai serbuan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur malam tadi, Lina Diana berkata pasangan itu tidak sepatutnya dikasihani.

“Kenapa kasihankan Najib? Kasihanilah mereka yang tidak mempunyai cukup makanan kerana dia,” tulisnya.

Pengguna Facebook lain, Mohd Hafiz Sukri berkata: “Berapa banyak beg tangan yang anda beli? Rakyat perlu berfikir dua atau tiga kali untuk makan KFC (Kentucky Fried Chicken).”

Najib dan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dipersalahkan atas kenaikan kos sara hidup sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Sejak Rabu malam, polis menyerbu rumah Najib di Jalan Langgak Duta, pejabat lama di Putrajaya, dan hartanah lain yang berkaitan dengannya, termasuk unit di Pavilion Residences, di mana 284 kotak beg tangan dan 72 beg berisi tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan dan barang kemas dirampas malam tadi.

Siaran langsung di Kaki Share dilihat lebih 353,000 kali, dikongsi 7,000 kali dan menarik lebih  10,000 ulasan yang ditujukan kepada Najib, Rosmah dan pihak berkuasa.

Nor Rodziah Syakina, yang menyatakan tidak percaya dengan bilangan beg tangan yang disita, berkata: “Semua itu beg tangan? Saya hanya mempunyai tiga atau empat yang saya tidak gunakannya. Beliau boleh isi empat lori dengan beg tangan? Bila masa beliau gunakannya semua?”

Hanie Ariel dalam ulasannya merujuk kepada kenyataan Rosmah yang dibuat pada 2015 semasa pelancaran pelaburan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) untuk kanak-kanak di bawah program Permata Negara, di mana beliau menasihatkan ibu bapa memastikan anak-anak mereka menyimpan wang sejak kecil.

“Rosmah menabung sejak kecil, dan juga melabur di ASB. Dia menggunakan dividen untuk membeli beg tangan Hermes,” katanya.

Amilia Anuar dalam satu tulisan yang sarkastik, bertanya: “Kenapa rampas semua barang Kak Mah (Rosmah). Itu adalah hadiah ulang tahun bulanannya daripada Pak Jib (Najib). Memanglah banyak. Mereka sudah lama berkahwin.”

Aishah Ishak menulis yang Najib adalah “orang yang sangat lemah” digunakan oleh orang-orang di sekelilingnya, termasuk isteri, anak-anak dan rakan-rakannya untuk menjadi kaya.

Mild Ijan juga berkata banyak lagi pemimpin Umno dan BN, termasuk mereka yang berada dalam PAS, perlu disiasat oleh pihak berkuasa kerana rakyat mahu negara yang bersih dan adil.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu membuat siasatan di luar negara juga. Sumber berkata mereka menyeludupkan banyak barang ke luar negara sejak beberapa tahun lepas,” kata Nazirul Amin.

Kerajaan PH yang baru dipilih di Putrajaya berikrar untuk menyiasat semula skandal 1MDB dan pembaharuan institusi kerajaan. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen