TIADA salahnya perdana menteri memegang portfolio kabinet tambahan, kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dalam kebimbangan ramai yang Dr Mahathir Mohamad melanggar salah satu janji pilihan raya Pakatan Harapan.
Ini adalah kerana jawatan perdana menteri bukanlah satu portfolio, kata Anwar kepada akhbar The Star dalam satu wawancara.
“Saya fikir ia tidak bertentangan (manifesto). Dalam pemahaman saya, perdana menteri bukanlah satu portfolio.
“Perdana menteri menguruskan negara umumnya, begitu juga timbalan perdana menteri. Tiada portfolio,” kata Anwar dipetik berkata.
Katanya, tunjang janji pilihan raya PH adalah perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain ditujukan kepada jawatan menteri kewangan.
Lim Guan Eng dinamakan sebagai menteri kewangan.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan memegang jawatan menteri pendidikan, dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula akan memegang jawatan menteri wanita dan kebajikan.
Beberapa pemimpin PH dan ahli Parlimen sudah meluahkan kebimbangan pelantikan itu melanggar janji PH.
Anwar juga meminta lebih banyak ruang dan “tangan bebas” diberikan kepada Dr Mahathir.
“Saya juga meluahkan pandangan saya setiap kali berjumpanya. Dia ambil dengan baik,” katanya. – 18 Mei, 2018.
Komen