LAMAN sesawang Sarawak Report dan Medium tidak lagi disekat, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.
“Sekatan yang dibuat akan diteliti semula dan jika sebab atau kriteria untuk menyekat tidak lagi terpakai sejajar dengan impak dan kesan semasa, maka sekatan tersebut akan ditarik balik.
“Dalam kes Sarawak Report dan Medium, tiada lagi keperluan untuk menyekat apabila laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi umum,” kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB dibebaskan daripada Akta Rahsia Rasmi awal minggu ini sebagai salah satu langkah awal Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam pembukaan semula siasata kepada firma pelaburan negara itu dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Akses kepada Sarawak Report dan Medium disekat di bawah pentadbiran Najib kerana tuduhan rasuah terhadapnya yang melibatkan 1MDB.
SKMM juga menerima aduan mengenai laman sesawang keputusan pilihan raya live.undi.info yang didapati badan ketelusan digital Sinar Project disekat oleh TM dan Maxis pada malam 9 Mei ketika keputusan Pilihan Raya Umum dikeluarkan.
Maxis kemudiannya mendakwa dakwaan tersebut harus diajukan kepada SKMM.
SKMM hari ini mengatakan ia bertindak atas aduan yang diterima daripada orang ramai dengan beberapa keputusan yang diterbitkan di live.undi.info tidak tepat.
“Bagaimanapun selepas meneliti semula kandungan-kandungan yang disiarkan, sekatan ditarik balik memandangkan kriteria-kriteria yang digunakan untuk proses sekatan sebelum ini sudah tidak terpakai dalam situasi semasa,” kata suruhanjaya tersebut. – 18 Mei, 2018.
Komen