AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyertai rakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dalam memberi peringatan kepada Dr Mahathir Mohamad supaya tidak melanggar janji manifesto PH yang perdana menteri tidak akan memegang portfolio tambahan.
“Saya gembira untuk melihat yang beberapa pemimpin PH mengakui salah pandang mereka dan mahu terus kerajaan kekal komited untuk menstrukturkan peranan dan tugas Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Maria berkata, beliau bersetuju dengan kebimbangan pemimpin kanan PH, Lim Kit Siang tentang perdana menteri mengambil jawatan tambahan.
Selain bekerja keras untuk menggerakkan pemulihan institusi secepat mungkin, Dr Mahathir semalam mengumumkan yang beliau akan menjadi menteri pendidikan.
Kabinet PH mula dibentuk perlahan-lahan kerana perdana menteri masih menilai nama-nama calon yang dikemukakan oleh empat parti PH bagi memenuhkan kabinet yang lebih kecil berbanding pentadbiran sebelum ini.
Dr Mahathir hanya mahukan 25 hingga 30 menteri kabinet dan mengatakan akan menamakan 10 menteri pertama minggu ini.
Antara nama yang sudah dikeluarkan setakat ini adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga menteri wanita dan kebajikan, Lim Guan Eng selaku menteri kewangan, Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan. – 18 Mei, 2018.
Komen