10 exco Kedah angkat sumpah jawatan Selasa


The Malaysian Insight

SERAMAI 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai exco pada Selasa depan, kata Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) Kedah kini dalam proses agihan portfolio dan apabila selesai, 10 exco terbabit perlu mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah terlebih dahulu.

“Isnin ini, setiap seorang (exco yang dipilih) akan menghadap sultan untuk diperkenalkan dan Selasa, dijangka akan berlangsung angkat sumpah supaya mesyuarat exco pertama dapat diadakan Rabu ini,” katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan Malaysia.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata, PKR mendapat agihan jawatan paling banyak dengan empat wakil rakyat dilantik sebagai exco, diikuti Amanah (tiga jawatan exco), Bersatu (dua) dan DAP (satu).

Katanya, bagi pelantikan speaker DUN, PH Kedah akan memilih wakil rakyat PKR dan timbalannya pula daripada Bersatu.

Mukhriz dilantik menjadi menteri besar Kedah susulan kemenangan PH yang memperolehi majoriti mudah dengan meraih 18 berbanding PAS yang mendapat 15 kerusi dan BN, tiga kerusi. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen