Dr Mahathir hanya tidur 2 jam, kerja keras pulihkan negara


The Malaysian Insight

BERBEKALKAN tempoh maksimum hanya dua tahun memegang jawatan penting negara, Dr Mahathir Mohamad berjaga setiap malam untuk menangani pelbagai isu negara sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei.

Harinya dihabiskan menemuramah calon bagi jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan; mengisi jawatan Kabinet, menyelesaikan masalah, memenuhi pelbagai permintaan media dan menguraikan kekusutan yang ditinggalkan oleh dasar kerajaan yang lemah.

Waktu malamnya dihabiskan dengan membaca laporan dan dokumen. Hanya tidur pada pukul 5 pagi dan bangun pada jam 7 pagi.

Dan isterinya bimbang dengan jadualnya yang begitu ketat.

Posting di Facebook di Kelab Che Det yang memaparkan gambar Dr Mahathir dengan wajah keletihan: “Saya bimbang dengan kesihatan Tun. Dia tidak tidur. Waktu tidurnya kini digunakan untuk mengkaji setiap dokumen kerajaan. Dalam satu malam, dia membaca lebih 200 dokumen sehingga jam 4 pagi-5 pagi. Pada pukul 7 pagi, dia sudah pun berada di pejabatnya - Tun Siti Hasmah.”

Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga seorang doktor perubatan terlatih, adalah isteri Dr Mahathir.

Posting ini dikongsi sebanyak 16,714 kali di Facebook dan menjadi tular di media sosial serta pelbagai platform mesej.

Pengguna Facebook Calvin Kok menyatakan Dr Mahathir mengejar masa untuk membaiki “Malaysia yang rosak teruk”.

“Beliau sedar beliau mempunyai masa yang terhad. Kita perlu berdoa agar Tun sentiasa menikmati kesihatan yang baik dan hatinya sentiasa tenang.

“Saya cadangkan mereka menubuhkan unit kesihatan khas yang sentiasa ada bersamanya,” katanya.

Hakikatnya, begitulah etika kerja Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri antara 1981 dan 2003.

Apabila Malaysia diserang krisis kewangan Asia pada 1997 dan krisis politik setahun kemudian selepas pemecatan Anwar Ibrahim, beliau bekerja berjam-jam.

Bagaimanapun, ketika itu beliau 20 tahun lebih muda, dan selalu berjaya mencuri masa pada waktu petang untuk tidur.

Perdana Menteri Mahathir 2.0 kini berusia 93, dan beliau sedang berusaha mengejar masa untuk mereformasi ekonomi Malaysia dan memulihkan institusinya.

Ramai rakyat Malaysia menghargai usaha dilakukan oleh PM dan bersedia untuk mengecam sesiapa yang berani mempersoalkan komitmen Dr Mahathir untuk memimpin dan melaksanakan agenda reformasi PH.

Malah soalan yang munasabah juga dibantah.

Malam tadi, seorang pengulas dalam talian tertanya-tanya sama ada Dr Mahathir sudah melupakan janji Pakatan Harapan (PH) agar perdana menteri tidak memegang lebih daripada satu jawatan menteri.

Komen ini susulan pengumuman yang selain menjadi perdana menteri, Dr Mahathir juga akan menjadi menteri pelajaran.

Soalan ini menerima 1,000 respons, kebanyakannya mengecamnya kerana didakwa sengaja mencari salah.

Berikut adalah petikan jadual Dr Mahathir sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14):

9 Mei

* PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.

* Selain Sarawak, BN kini hanya menguasai Perlis dan Pahang.

* Dr Mahathir mengarahkan ketua setiausaha negara mengsytiharkan cuti dua hari.

10 Mei

* Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada pukul 10 malam.

11 Mei

* PM mengumumkan rancangan 10 Kabinet untuk pentadbiran baru dan mengatakan kementerian akan dibahagikan sama rata di kalangan parti komponen PH.

12 Mei

* Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor disekat ke luar negara.

* Dr Mahathir umum tiga menteri kanan dan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan.

* Majlis Penasihat Kerajaan mengadakan mesyuarat pertama sehingga tengah malam.

13 Mei:

* Dr Mahathir mengumumkan dasar pro-perniagaan, FDI dihadkan kepada teknologi dan modal, tender terbuka bagi infrastruktur dan projek besar.

14 Mei

* Dr Mahathir bertemu semua ketua setiausaha kementerian.

* Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad letak jawatan.

* Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti serta-merta.

* Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Mohd Irwan Serigar Abdullah dipendekkan kontrak perkhidmatan dan ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

* Shahrir Samad meletak jawatan pengerusi Felda.

15 Mei

* Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan polis dan bekas penyiasat skandal 1MDB.

* Dr Mahathir memberitahu media yang Najib akan didakwa berhubung skandal 1MDB.

* Majlis Penasihat Kerajaan tubuh jawatankuasa pembaharuan institusi lima anggota terdiri daripada empat pakar perundangan dan seorang bekas pegawai kanan tentera.

* Laporan audit negara ke atas 1MDB jadi dokumen awam.

16 Mei

* Kementerian Kewangan umum GST turun kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun 2018.

* Pendaftar Pertubuhan sahkan pendaftaran PH.

* Anwar Ibrahim bebas selepas dapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

* Kediaman Najib di Taman Duta dan beberapa premis lain termasuk bekas pejabatnya di Putrajaya diserbu polis.

17 Mei

* Kementerian Kewangan umum akan perkenal semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

* Majlis Presiden PH bincang kedudukan Anwar. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen