AKTIVITI di sekitar kediaman peribadi Najib Razak di Taman Duta masih tidak surut, dan hari ini empat kereta polis dengan dua motosikal peronda tiba di situ.
Ketibaan mereka disusuli dengan sebuah Toyota Vellfire tetapi tidak dapat dipastikan siapakah penumpangnya.
Semua perhatian kini terarah kepada rumah Najib selepas dilaporkan semalam polis cuba memecahkan sebuah peti besi lama yang mereka temui ketika melakukan pemeriksaan di rumah itu.
Dilaporkan setakat ini, dua tukang kunci sudah dipanggil untuk membuka peti itu tetapi tidak berjaya.
Peguam Najib, Harpal Grewal Singh memberitahu wartawan yang pemeriksaan di rumah Najib sudah berakhir tetapi polis masih berusaha membuka peti besi itu sejak pagi semalam.
Pencarian di rumah Najib bermula malam Rabu lalu dan Harpal mengatakan Najib sedang disiasat di bawah Akta Anti Penggubahan Wang Haram, Akta Anti Pembiayaan Keganasan dan Akta Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Katanya, Najib dan keluarga masih berada di kediaman itu dan mereka tidak berada dalam tahanan rumah. – 18 Mei, 2018.
Komen