PENTADBIRAN Pakatan Harapan perlu menghentikan budaya membuat laporan polis dan menahan orang yang menghina perdana menteri, kata bekas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
Aktivis yang kini ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata budaya itu hanya akan mewujudkan budaya ketakutan, dan Putrajaya di bawah PH “tidak berhasrat menggalakannya”.
Maria juga mengatakan Dr Mahathir Mohamad sudah menunjukkan banyak kali yang beliau mampu menangani kritikan dan penghinaan.
“Kita tidak perlu mengikut kaedah hina pentadbiran sebelum ini untuk menangani kritikan. Sekarang patutnya jadi era baru dan politik inklusif Malaysia.
“Dr Mahathir sendiri terus bekerja walaupun jadi sasaran kritikan dan penghinaan apabila dia tinggalkan Umno, melancarkan Deklarasi Warga, membentuk Bersatu dan menyertai pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maria mengulas laporan berita yang beberapa ahli Bersatu Perak membuat dua laporan polis Isnin lalu berkaitan beberapa catatan di Facebook dan WhatsApp yang menghina Dr Mahathir.
Semalam, beberapa NGO juga membuat laporan polis berkaitan penghinaan terhadap perdana menteri, dan polis di Langkawi menahan seorang lelaki untuk siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.
Katanya, hak kebebasan bersuara dengan jelas dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan dan pandangan peribadi seseorang perlulah dihormati.
Manifesto itu juga katanya dengan jelas menyatakan kerajaan PH komited dalam penghapusan peruntukan akta menekan seperti dalam Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.
“Bagaimanapun, perlu diingatkan yang walaupun kebebasan bersuara membenarkan rakyat menentang kerajaan, penghinaan yang ganas dan kasar seperti ugutan bunuh tidak boleh diterima,” kata Maria lagi. – 18 Mei, 2018.
Komen