Polis masih mengira nilai barangan disita dari Pavilion


The Malaysian Insight

POLIS masih mengira nilai wang tunai, barang kemas dan barangan berharga yang dirampas daripada unit kondominium mewah di Pavilion Residences, Kuala Lumpur.

Wang tunai dalam pelbagai mata wang, barang kemas, jam tangan dan barangan berharga lain disimpan dalam 72 beg bagasi pelbagai saiz yang dibawa dengan lima lori polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Amar Singh Ishar Singh memberitahu pemberita awal hari ini beliau tidak dapat memberi butiran mengenai jumlah sebenar barang disita kerana polis belum mula membuat pengiraan.

“Tetapi jumlah itu agak besar,” katanya.

Pasukan penyiasat juga merampas 284 beg tangan pelbagai jenama termasuk Hermes Birkin.

Barangan yang disita pagi ini hanya dari satu daripada enam premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Polis juga menjalankan pemeriksaan di kediaman rasmi bekas perdana menteri itu di Seri Perdana, rumah peribadi di Taman Duta, pejabat di Jabatan Perdana Menteri dan tiga unit di Pavilion.

Amar berkata semua operasi serbuan berkaitan dengan siasatan besar-besaran ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen