Barangan dirampas dari kondominium berkaitan Najib penuhi 5 lori polis


The Malaysian Insight

POLIS merampas 350 beg tangan berjenama dan beg pakaian selepas pencarian yang memakan masa hampir 30 jam di sebuah kondominium mewah di tengah Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Najib Razak.

Barang yang dirampas itu memenuhi lima buah lori- dua dipenuhi dengan beg pakaian dipenuhi wang tunai, barang kemas dan pelbagai barang berharga lain, dan tiga lagi dipenuhi dengan beg tangan berjenama, antaranya beg mahal Hermes Birkin.

284 beg tangan dan 72 beg pakaian dirampas dari unit kondominium itu, kata polis.

Kondominium itu- Pavilion Residences- terletak di kawasan Tiga Segi Emas Kuala Lumpur dipercayai milik seorang “Tan Sri” dikaitkan dengan Najib. Polis enggan mendedahkan nama sebenarnya, mengatakan “pemilik tidak penting”.

Dipercayai yang nama “FR Datin Cindy” ditulis di semua kotak yang menyimpan beg tangan itu.

Polis masih melakukan pemeriksaan di dua buat unit kondominium yang sama, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Amar Singh Ishar Singh.

Polis juga masih berada di rumah Najib di Taman Duta. Pencarian bermula pada Rabu itu masih diteruskan dan usaha membuka sebuah peti keselamatan masih tidak berjaya.

Serbuan dilakukan serentak pada jam 10 malam Rabu lalu di kediaman dan pejabat berkaitan Najib yang disyaki melakukan jenayah penggubahan wang haram.

Amar berkata pemeriksaan dan rampasan itu ada kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami menyiasat kes 1MDB dan pemeriksaan dilakukan di enam premis sejak semalam yang berkaitan dengan kes itu,” katanya.

Tempat pertama yang diserbu, kata Amar, adalah Pejabat Perdana Menteri. Dokumen berkaitan 1MDB dirampas. Malam yang sama, polis juga menyerbu kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana.

Amar berkata empat lagi premis yang diserbu adalah kediaman berkaitan Najib termasuklah rumahnya di Jalan Langgak Duta.

Katanya, waran diperolehi untuk semua enam lokasi.

Amar berkata pasukan penyiasat bertindak profesional menjalankan tugas mereka dan tidak pernah menjadi niat mereka untuk menyebabkan rasa tidak selesa kepada sesiapa.

“Kes ini sangat menarik. Kami perlu sangat teliti dan kami profesional dalam kerja kami, tetapi siasatan perlu ambil masa dan kami perlu teruskannya.

“Macam pemeriksaan unit ini, ia ambil masa dua hari untuk siap. Kami tak tidur untuk dua hari.”

Menyentuh mengenai peti besi di rumah Najib di Langgak Duta yang cuba dibuka polis, Amar berkata kerja masih berjalan.

Beliau enggan mengulas lanjut. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen