ANWAR Ibrahim merancang untuk kembali ke Parlimen penghujung tahun ini, selepas meraih kerusi selamat pada pilihan raya kecil.
Bekas timbalan perdana menteri itu dikurniakan pengampunan penuh dan dibebaskan dari penjara Rabu lalu. Pengampunan itu membolehkannya menjadi calon pilihan raya kecil serta merta.
Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu Malaysia Decides yang beliau mahu bertanding pilihan raya kecil untuk menang kerusi Parlimen dalam masa terdekat, walaupun wujud bantahan daripada mereka disekelilingnya.
“Kenapa nafikan saya kerusi? Orang kata jika saya bertanding, akan ada pergelutan kuasa. Awak dah tak betul ke?
“Saya dinafikan peluang bertanding, saya disabitkan kesalahan secara tak adil. Saya mahu terlibat. Saya mahu bertanding,” katanya.
Anwar juga mengatakan beliau perlu memastikan yang beliau boleh mencari kerusi selamat.
“Saya perlu mula cari sekarang. Saya tak boleh ambil risiko.”
Sebelum PRU14 lagi, Dr Mahathir Mohamad sudah berjanji yang beliau akan meminta pengampuan penuh untuk Anwar jika PH menang dan akan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri seterusnya.
Anwar berkata beliau akan meminta keizinan Dr Mahathir untuk bertanding pada pilihan raya kecil.
“Saya akan (bertanding) tahun ini. Sudah tentu saya akan maklumkan PM,” kata Anwar. – 18 Mei, 2018.
Komen