BUAT masa sekarang, Anwar Ibrahim tak berminat mahu jadi menteri kabinet.
Sebaliknya, beliau mahu menjadi “voice of reason” dalam kerajaan Pakatan Harapan, membantu kembaranya dalam perjalanan bahaya merentas Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.
Bekas timbalan perdana menteri dan tokoh utama negara itu buat masa sekarang juga hanya mahu melihat prestasi menteri, timbalan menteri dan penasihat bagi memastikan semua orang telus dan jujur.
Dalam wawancara bersama Malaysia Decides semalam, sangat jelas yang Anwar seperti rakyat Malaysia yang lain teruja dengan perubahan politik yang berlaku pada 9 Mei dan mengharapkan masa depan yang lebih baik untuk negara.
Tetapi, pengalamannya menjadi ahli politik berdekad lamanya dan pernah berada dalam kerajaan, beliau faham yang perubahan tidak pernah mudah dan jarang sekali ia berjalan sempurna mengikut rancangan.
Contoh mudah adalah pelantikan Lim Guan Eng (DAP) sebagai menteri kewangan. Walaupun pasaran kewangan meraikan keputusan itu, terdapat sekelompok orang Melayu yang tidak berpuas hati, marah kerana portfolio yang selama empat dekad dipegang pemimpin Melayu itu diberikan kepada pemimpin bukan Melayu.
Anwar percaya beliau boleh memberikan peranan memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah rumit di Putrajay termasuklah pelantikan bukan Melayu dalam kabinet.
Mengulas pelantikan Lim sebagai menteri kewangan, beliau berkata:
“Masalahnya, adakah ia memberi kesan kepada ramai orang Melayu? Ya, ia beri kesan.”
Pada perhimpunan meraikan pengampunan diraja dan pembebasannya pada malam Rabu lalu, Anwar bertanya mengapa wujud kontroversi pelantikan Lim kerana beliau pemimpin DAP tetapi senyap sunyi apabila seorang Melayu merompak negara.
“Ia bukanlah soal ada menteri Cina tetapi bagaimana anda susun mesej anda. Saya cuba jelaskan. Awak perlu yakinkan mereka, bila dah boleh terima, okaylah,” katanya kepada Malaysia Decides.
Salah seorang pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) itu juga mengatakan beliau akan menawarkan kemahirannya mengendalikan isu berkaitan kaum dan agama kerana rakyat Malaysia ramai melihatnya sebagai bakal perdana menteri seterusnya.
“Mereka mahukan perubahan dan mereka ada letak harapan dan impian pada saya. Sekarang, mereka ada konsensus tentang kepimpinan Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Anwar mengatakan beliau akan berperanan “membantu” Dr Mahathir bagi memastikan pentadbirannya di landasan yang betul.
“Kerja saya untuk pantau, saya tak akan sertai kabinet. Saya akan pantau prestasi menteri kabinet dan penasihat,” katanya.
Pemimpin berusia 70 tahun itu juga mengatakan beliau akan menjadi penghubung antara pemerintahan Dr Mahathir dengan generasi muda Malaysia.
”Peranan saya adalah untuk bantu Dr Mahathir. Bukan untuk lawan dia tetapi untuk berunding sekiranya tiada konsensus. Saya beritahu Dr Mahathir, awak sedang berurusan dengan persekitaran yang berbeza. Awak perlu ambil kira banyak pandangan mereka,” katanya.
Beliau mengakui, kerjasamanya dengan Dr Mahathir 20 tahun lalu adalah kerjasama yang baik dan berharap ia dapat diteruskan walaupun wujud perbezaan antara mereka.
”Saya bergaduh dengannya tentang banyak isu besar. Hari ini, saya kata kepadanya, saya ‘sangat setia kepada awak’. Dia kata ‘ya la saya pun baik dengan you’.
“Tetapi, saya kata bila kita lawan, ia perang paling parah. Dan ia pertempuran yang sangat sukar tetapi lihat sekarang, kita baik balik.
”Awak boleh nampak yang dia agak sentimental tentangnya juga. Awak boleh bayangkan masa saya sangat rapat dengannya dahulu, jadi semua kenangan tu datang balik,” kata Anwar yang menyertai Umno kerana pujukan Dr Mahathir.
Bertahun lamanya, Dr Mahathir dengan bangga menayangkan Anwar sebagai anak lelaki politiknya, dan diketahui umum yang hanya masa akan menentukan anak didiknya itu menggantikannya sebagai perdana menteri.
Tetapi, krisis kewangan Asia 1997, perpecahan dalam visi untuk Malaysia dan hasutan penyokong menyebabkan Dr Mahathir dan Anwar berperang.
Anwar dipecat daripada kerajaan dan dipenjarakan atas kesalahan liwat.
Beliau dipenjarakan untuk kali kedua oleh Najib Razak. Kedua-dua kalinya, Anwar mengatakan beliau mangsa konspirasi politik. – 18 Mei, 2018.
Komen