KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu bukan disebabkan personaliti dalam gabungan itu, kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, menurut Anwar ia adalah kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan kerenah dan sikap teruk Barisan Nasional (BN) yang menekan rakyat.
“Inilah yang harus diterapkan dalam minda setiap pimpinan PH. Rakyat tidak sokong kerana pemimpin tapi mereka sokong (PH) kerana mahukan perubahan,” kata Anwar dalam wawancara bersama Malaysia Decides.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata sokongan golongan muda terhadap PH turut menunjukkan generasi pengundi seterusnya akan berubah dan berevolusi dan tidak lagi mengundi mengikut sentimen parti seperti pilihanraya yang lepas-lepas.
“Sokongan rakyat, khususnya orang muda telahpun merentas parti politik. Mereka mahu sebuah kerajaan yang membuat perubahan untuk hidup mereka.
“Akan lahir generasi Malaysia yang berfikir untuk negara Malaysia dan menjunjung yang paling utama, pentadbiran berinstitusi dan prinsip keadilan.”
Menurut Anwar ia akan lebih berbeza dengan apa yang dibayangkan oleh penaung kemerdekaan negara itu sendiri kerana masa depan negara akan dilahirkan oleh golongan masa depan itu sendiri.
“Saya katakan ini bukan kerana tidak hormat tetapi pandangan founding fathers (penaung kemerdekaan) ini adalah satu impian yang amat tidak jelas.
“Kita akui dan hargai serta hormat mereka daripada mula tapi tidak sepatutnya mengulang semula visi mereka.
“Generasi muda kini telahpun bergerak melangkaui visi mereka,” kata Anwar.
Pada PRU minggu lalu, BN tewas buat kali pertama dalam tempoh 61 tahun apabila rakyat khususnya pengundi muda memilih PH.
BN turut kehilangan beberapa negeri mereka termasuk negeri kelahiran Umno, Johor kepada PH dan Terengganu kepada PAS, sesuatu yang sukar dibayangkan rakyat Malaysia sebelum ini. – 18 Mei, 2018.
Komen