Tindakan afirmatif bukan berasaskan kaum perlu diteruskan, kata Anwar


The Malaysian Insight

POLISI tindakan afirmatif terhadap golongan miskin akan tetap diteruskan oleh Pakatan Harapan, kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Anwar berkata polisi berasas kaum seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditamatkan dan diganti dengan polisi yang lebih inklusif sebagai tindakan afirmatif.

“Tindakan afirmatif (affirmative action) sepatutnya kekal. Polisi berasas kaum sepatutnya dihapuskan. Tindakan afirmatif akan berjalan selagi mana kita ada kemiskinan dan ketidakadilan. Ia harus diubah. Sistem sekarang ini melahirkan ketidakadilan itu,” kata beliau dalam wawancara bersama Malaysia Decides.

Anwar yang juga timbalan perdana menteri daripada tahun 1993 hingga 1998 berkata tindakan afirmatif golongan sasar itu bukanlah bermaksud sesuatu kaum dipinggirkan.

Beliau menyatakan sentimen terhadap kaum di negara ini merupakan satu perkara sensitif tetapi boleh difahami rakyat.

“Secara realistiknya, kita tidak boleh menolak faktor isu kaum dimainkan umum. Malah dalam PH sendiri, rakyay sedar partinya secara umum mewakili kaum. Kita tidak perlu menolak isu kaum. Mana-mana negara pun akan hancur jika sesebuah pihak mengabaikan kaum itu.

“Ada bezanya antara kebimbangan sentimen terhadap sesuatu kaum dan sifat perkauman (racism) yang dibiakkan oleh regim lama (BN),” kata beliau.

Anwar memberi contoh mengenai polisi baru yang patut diterapkan ke dalam sistem penjawat awam yang dapat memberikan keadilan kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum.

“(Sebelum ini) Kontrak diberikan kepada golongan yang sedikit. Sistem gaji awam turut menampakkan perbezaan ketara antara mereka di pangkat tertinggi dan kebanyakan penjawat awam lain. Itu harus dilihat. Itu bukan isu perkauman, itu tindakan afirmatif untuk sebuah polisi. Itu adalah keadilan.

“Ini ialah agenda Malaysia baru yang membantu semua yang miskin tanpa mengira kaum. Peluang haruslah diberikan kepada semua rakyat,” kata beliau.

Anwar pada 2007 pernah mencadangkan agar DEB digantikan dengan dasar yang lebih inklusif selepas pelaksanaannya sejak 1970 dilihat lebih banyak memihak kepada hanya sebahagian Bumiputera.

Bagaimanapun pelbagai kumpulan termasuk NGO berasaskan Melayu dan Umno melihat isu itu sebagai menyerang hak kaum Melayu Bumiputera. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen