Dr Mahathir mahu selamatkan Malaysia dengan membetulkan sistem pendidikan


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad jadi menteri pelajaran sekarang samalah deja vu seperti beliau jadi perdana menteri semula. Tetapi itulah keadaannya di Malaysia sekarang.

Hakikatnya, tiada sesiapa dalam Pakatan Harapan yang boleh memikul tugas untuk mengubah sistem pendidikan Malaysia seperti Dr Mahathir. Itupun kalau beliau boleh mengabaikan manifesto PH yang menjanjikan PM tidak boleh memegang portfolio lain.

Anwar Ibrahim, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Hishammuddin Hussein – telah gagal sebagai menteri pendidikan semasa mereka dalam Umno. Ini sebuah kementerian yang paling terkait dengan politik dalam kabinet Barisan Nasional dan barangkali dalam PH juga.

Hulubalang dan kuasa yang berakar umbi dalam kerajaan baru ini akan menelan mentah-mentah pemimpin yang kurang berpengalaman terutamanya ketika Anwar belum lagi terpilih ke Parlimen atau dilantik sebagai senator sementara Muhyiddin kini menteri dalam negeri.

Semasa beliau jadi menteri pelajaran antara 1974 hingga 1978, Dr Mahathir melaksanakan Laporan Rahman yang membawa kepada perubahan bahasa pengantar daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu bermula tahun akademik 1975.

Antara tindakan pertamanya semasa jadi menteri ialah mengenakan kawalan kerajaan yang lebih ketat ke atas universiti, yang dibantah oleh kelompok akademik. Beliau menyekat politik di kampus universiti, dengan kuasa menghukum pelajar dan pensyarah yang aktif dalam politik, dan menjadikan biasiswa kepada pelajar sebagai taruhan untuk tidak berpolitik.

Namun beliau mula berkendur pada hujung pentadbirannya sebagai perdana menteri pada 2003 apabila memperkenalkan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah kerajaan.

Langkah itu tidak diterima secara menyeluruh oleh pemimpin Umno yang mendesak Bahasa Melayu digunakan sebagai satu-satunya bahasa pengantar di sekolah.

Dalam kritikannya terhadap sistem pendidikan pada akhir 2014, Dr Mahathir berkata kesenjangan sosio ekonomi di Malaysia akan bertambah melebar, dengan keluarga kaya mengirimkan anak mereka masuk ke sekolah antarabangsa atau ke luar negara untuk belajar dalam Bahasa Inggeris, sementara yang miskin ketinggalan di sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan.

Menulis di blognya yang popular, Dr Mahathir berkata kaum-kaum di negara ini sudah terpisah kerana kerajaan terpaksa tunduk kepada tuntutan pelbagai kaum supaya Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil jadi bahasa pengantar di sekolah. Ini diburukkan lagi dengan bercambahnya sekolah antarabangsa aliran Bahasa Inggeris dan sekolah swasta.

Blog Dr Mahathir itu mendedahkan kebanyakan majikan kini cenderung memilih calon pekerja yang fasih berbahasa Inggeris dan ini menjejaskan anak-anak dari keluarga miskin.

Kembalinya beliau ke Kementerian Pelajaran dilihat sebagai perang terakhir untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya mendapat sistem pendidikan yang lebih baik yang pernah melahirkan mereka yang memacu kemajuan negara ini daripada sebuah tanah bekas jajahan sehingga menjadi 20 negara utama dunia. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen